Pengertian jenayah terbahagi kepada dua:
Jenayah menurut pengertian bahasa ialah segala perbuatan dosa dan tercela.
Jenayah menurut pengertian istilah ialah kesalahan dan perbuatan yang dilarang di sisi undang² syara' dan pesalah dikenakan hukuman hudud, qisas atau ta'zir. Iaitu segala perbuatan jahat yang dilakukan dengan tujuan untuk menceroboh harta benda, kehormatan, anggota dan tubuh badan manusia serta semua kesalahan yang meliputi perbuatan jahat, baik kesalahan tersebut berkaitan dengan hak Allah, seperti minum arak, tidak berpuasa, tidak sembahyang dan kesalahan berkaitan dengan hak manusia, seperti mencuri dan menceroboh.
Secara terprinci, ulama Islam telah membahagikan undang² jenayah kepada beberapa bahagian berikut:
A. Hudud.
B. Qisas, Kifarat dan Diyat.
C. Ta'zir.
Konsep Hukum Jenayah
1. Menjaga nyawa dan kehormatan jiwa manusia daripada jenayah seperti pembunuhan.
2. Menjaga kewarasan akal dari segala benda yang memabukkan seperti arak dan dadah.
3. Menjaga agama daripada dicalari kesuciannya.
4. Menjaga keturunan dan zuriat manusia daripada bercampur dengan keturunan dan benih yang tidak baik iaitu daripada jenayah zina.
5. Menjaga harta benda daripada dirampas, dirompak, dicuri dan sebagainya.
Tujuan Hukum Jenayah
Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Oleh itu, undang² jenayah yang terkandung dalam syariatnya juga menyeluruh dan sempurna. Antara tujuannya penetapannya ialah:
1. Hukum jenayah yang ditetapkan bertujuan untuk membasmi dan mencegah kerosakan, baik pada diri, agama dan masyarakat serta negara.
2. Untuk membawa pengajaran dan pembalasan yang setimpal, dan tujuan kebaikan dan kemaslahatan.
3. Islam juga mensyariatkan hukuman jenayah yang bertujuan untuk mencegah, dan memberi pengajaran serta peringatan kepada penjenayah yang dikenakan hukuman supaya tidak mengulangi buat kali seterusnya.
4. Hukuman jenayah yang ditetapkan juga adalah untuk menakutkan manusia supaya tidak melakukan kemusnahan dan penderhakaan kepada Allah.
5. Untuk menghapus dosa penjenyah dan melepaskan mereka dariapada azab yang lebih pedih di akhirat nanti.