Kelebihan Berusaha

Firman Allah S.w.t:"Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki?"
(Surah An-Naba':11)

Firman Allah S.w.t:"Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur."
(Surah Al-A'raf:10)

Firman Allah S.w.t:"Tidaklah mengapa kalau kamu mencari kurniaan Tuhanmu (rezeki)"
(Surah Al-Baqarah:198)

Firman Allah S.w.t:"Dan yang lain sedang berjalan di muka bumi untuk mencari kurniaan Allah". (Surah Al-Muzammil:20)

Firman Allah S.w.t:"Maka bertebaranlah di muka bumi dan carilah kurnia Allah"
(Surah Al-Jumuah:10)

Nabi S.a.w bersabda:"Sebahagian dari dosa ialah dosa yang tiada dihapuskan, melainkan oleh kesusahan pada mencari penghidupan".

Nabi S.a.w bersabda:"Saudagar yang benar, akan dibangkitkan pada hari kiamat bersama orang-orang siddiq dan orang-orang syahid"
(Diriwayatkan At-Tirmizi dan Al-Hakim dari Abi Sa'id)

Nabi S.a.w bersabda:"Barangsiapa mencari dunia secara halal, menjaga diri dari meminta-minta, berusaha untuk keluarga dan menaruh kasih sayang kepada jiran tetangga, nescaya ia menjumpai Allah S.w.t, sedang wajahnya seperti bulan pada malam purnama".
(Diriwayatkan oleh Abu Syeikh dan Al-Baihaqi dari Abu Hurairah, dengan sanad dhaif)

"Adalah Nabi S.a.w duduk bersama para sahabatnya pada suatu hari, lalu mereka itu melihat seorang pemuda yang tabah dan kuat. Ia pagi-pagi benar pergi berusaha. Maka mereka itu berkata:"Alangkah baiknya, pemuda ini, kalau adalah mudanya dan tabahnya fi sabilillah!"

Maka Nabi S.a.w menjawab:"Jangan engkau mengatakan itu! Kerana kalau ia berusaha untuk dirinya, supaya ia tercegah dari meminta-mintai dan ia tidak memerlukan kepada pertolongan orang lain, maka dia itu sudah fi sabilillah. Dan kalau ia berusaha untuk kedua ibu bapanya yang lemah atau keturunannya yang lemah, untuk memenuhi dan mencukupkan keperluan mereka, maka ia sudah fi sabi lillah. Dan kalau ia berusaha untuk membanggakan diri dan membanyakkan harta, maka ia sudah fi sabili syaitan (pada jalan syaitan).
(Diriwayatkan oleh At-Tabrani dari Kaab bin 'Ajrah, sanad dhaif)

Nabi S.a.w bersabda:" Sesungguhnya Allah menyukai hambaNya yang mengambil sesuatu pekerjaan untuk memperoleh kecukupan daripada meminta bantuan orang lain. Dan Allah S.w.t memurkai hambaNya yang mempelajari ilmu pengetahuan yang diperbuatnya ilmu itu untuk perusahaan".

Pada suatu hadis tersebut:" Sesungguhnya Allah S.w.t mencintai orang mukmin yang berusaha". Dan Nabi S.a.w bersabda:"Yang lebih halal dari apa yang dimakan oleh seseorang ialah dari hasil usahanya sendiri. Dan segala jual beli itu mempunyai kebajikan". Dan pada hadis yang lain tersebut:"Yang lebih halal dari apa yang dimakan oleh seorang hamba ialah usaha dari tangan pekerja apabila ia bekerja dengan jujur".

Dan Nabi S.a.w bersabda:"Haruslah kamu berniaga kerana pada perniagaan itu 9/10 dari rezeki!."

Dan diriwayatkan, bahawa Nabi Isa A.s melihat seorang lelaki, lalu bertanya:"Apakah yang engkau kerjakan?"
Lelaki itu menjawab:"Aku beribadah".
Nabi Isa A.s bertanya lagi:"Siapakah yang menanggung perbelanjaanmu?"
Lelaki itu menjawab:"Saudara saya!"
Lalu Nabi Isa A.s menyambung:"Saudaramu lebih banyak ibadahnya daripada kamu!"

Nabi S.a.w bersabda:"Sesungguhnya aku tiada mengetahui sesuatu yang mendekatkan kamu ke syurga dan menjauhkan kamu dari neraka melainkan aku suruh kamu dengan dia. Dan sesungguhnya aku tiada mengetahui sesuatu yang menjauhkan kamu dari syurga dan mendekatkan kamu ke neraka, melainkan aku larang kamu daripadanya. Sesungguhnya malaikat Jibrail menghembuskan ke dalam hatiku, bahawa nyawa itu tidak mati sehingga ia memperoleh dengan sempurna akan rezekinya, walaupun terlambat daripadanya. Maka bertaqwalah kepada Allah dan bertindaklah dengan baik dalam mencari rezeki!" Nabi S.a.w menyuruh dengan tindakan yang baik dalam mencari dan beliau tidak mengatakan: Tinggalkanlah mencari!"
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya dan Al-Hakim dari Ibnu Mas'ud)

Dari Nabi S.a.w bersabda:"Barangsiapa membuka kepada dirinya satu pintu dari meminta-minta, nescaya dibukakan oleh Allah kepadanya 70 pintu dari kemiskinan".
(Diriwayatkan oleh At-Tirmuzi dari Abi Kabsyah)

Mengahwini Kerana Agama

Dari Anas r.a, Nabi S.a.w bersabda:"Barangsiapa mengahwini wanita kerana hartanya dan kecantikannya, nescaya ia tidak akan memperoleh kecantikan dan hartanya itu. Dan barangsiapa mengahwini wanita kerana agamanya, nescaya dianugerahkan oleh Allah kepadanya hartanya dan kecantikannya".
(Hadis riwayat At-Thabrani)

Dari Abdullah bin Umar, Nabi S.a.w bersabda:"Janganlah dikahwini wanita itu kerana kecantikannya. Mungkin kecantikannya itu merendahkannya. Dan jangan kerana hartanya. Mungkin hartanya itu, menderhakakannya. Dan kahwinlah wanita itu kerana agamanya!"
(Hadis riwayat Ibnu Majah, dengan sanad dhaif)

Memilih wanita yang beragama itu penting dan harus diperhatikan sungguh². Kerana kalau wanita itu lemah keagamaannya, dalam menjaga dirinya dan kemaluannya, nescaya ia akan melipati suaminya. Ia menghitamkan wajah suaminya di muka orang ramai. Ia mengacaukan hati suaminya dengan kecemburuan. Dan ia mengeruhkan kehidupan suaminya dengan yang demikian itu.

Kalau suami itu menempuh jalan penjagaan dan kecemburuan, nescaya selalulah dia dalam percubaan dan bencana. Dan kalau suami itu menempuh jalan kemudahan, nescaya jadilah ia bermudah² dengan agama dan kehormatannya. Dan termasuklah ia orang yang kurang penjagaan dan berpendirian tegas.

Dan apabila bersama kerosakan budi, wanita itu cantik, maka bencananya lebih hebat lagi. Kerana suami itu sulit berpisah dengan dia. Tak sabar jauh dari padanya dan tak sampai hati menyakitkannya.

Kalau wanita itu perosak agama, dengan menghabiskan harta suaminya atau dengan cara lain, nescaya sentiasalah kehidupan suami itu keruh. Kalau berdiam diri, tidak ditentangnya, nescaya ia sekongkol dengan kemaksiatan.

Firman Allah S.w.t, maksudnya:"Peliharalah dirimu dan kaum keluargamu dari api neraka!" (Surah At-Tahrim:6)

Kalau ditentangnya dan berbantah, nescaya keruhlah seumur hidupnya, dan kerana itulah dengan tegas Rasulullah S.a.w mendorong supaya berkahwin dengan yang beragama.

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi S.a.w bersabda:"Wanita itu dikahwini kerana hartanya, kecantikannya, keturunannya dan keagamaannya. Maka haruslah engkau dengan yang beragama. Kalau tidak, nescaya melekatlah kedua tanganmu ke tanah!"
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dan juga penting memilih wanita yang baik budi pekertinya dalam mencari keselesaan hati dan pertolongan dalam agama. Kerana apabila wanita itu keras, kasar lidah dan jahat budi pekerti serta kufur kepada kenikmatan, nescaya adalah kemelaratan lebih banyak daripadanya dibandingkan dengan kemanfaatan. Dan dapat bersabar terhadap lidah kaum wanita, adalah termasuk hal² yang mendapat ujian para wali daripadanya.

Berkata setengah orang Arab:" Jangan engkau kahwini wanita yang enam ini iaitu yang ananah, yang mananah, yang hananah, yang hadaqah, yang baraqah dan yang syadaqah.

Adapun yang ananah iaitu wanita yang banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat mengikat kepalanya. Maka mengahwini wanita yang memperalatkan sakit atau mengahwini wanita yang membuat² sakit, tak adalah kebajikan padanya.

Dan yang mananah iaitu wanita yang suka membangkit² terhadap suaminya. Wanita itu mengatakan :"Aku perbuat demikian dan demikian kerana kanda".

Dan yang hananh iaitu wanita yang menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain atau anaknya dari suami yang lain. Dan inipun termasuk yang harus dijauhi.

Dan yang hadaqah iaitu wanita yang melemparkan pandangan dan matanya kepada setiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya dan memaksakan suami untuk membelinya.

Dan yang baraqah pula ada dua pengertian. Yang pertama ialah wanita itu sepanjang hari mengilatkan mukanya dan menghiaskannya, supaya mukanya berkilat yang diperoleh dari buatannya itu. Yang kedua ialah wanita itu marah kepada makanan. Ia tak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya dari tiap² makanan itu.

Dan yang syadaqah ialah wanita yang nyinyir banyak perkataan.

Nabi S.a.w bersabda:" Sesungguhnya Allah S.w.t memarahi orang² yang banyak bicara tak menentu lagi yang nyinyir".
(Hadis riwayat At-Tirmizi dari Jabir)

Hadis Tentang Akal

Dari Aisyah r.a bahawa Aisyah mengatakan:"Aku bertanya:"Wahai Rasulullah! Dengan apakah manusia memperoleh kelebihan di dunia?". Menjawab Nabi S.a.w:"Dengan akal!". Lalu aku bertanya lagi: "Di akhirat?". Menjawab Nabi S.a.w:"Dengan akal!". Bertanya aku lagi:"Bukankah mereka dibalas dengan sebab amalnya?". Menjawab Nabi S.a.w:"Hai Aisyah! Adakah mereka itu beramal, selain sekadar akal yang dianugerahkan Tuhan kepadanya? Maka menurut kadar akal yang diperoleh mereka, begitulah adanya amal mereka. Dan menurut kadar amal itu mereka diberi balasan".
(Diriwayatkan oleh Ibnu Mahbar dari Aisyah)

Bersabd Nabi S.a.w:" Orang Mukmin yang paling dikasihi Allah, ialah orang yang tegak berdiri dalam mentaatiNya, memberi nasihat kepada hambaNya, sempurna akalnya dan menasihati dirinya, lalu ia dapat melihat yang benar. Dan mengerjakan amal selama hidupnya, maka ia memperoleh keuntungan dan mendapat kemenangan".
(Diriwayatkan oleh Ibnu Mahbar dari Ibnu Umar)

Bersabda Nabi S.a.w:"Yang paling sempurna akal di antara kamu ialah orang yang paling takut kepada Allah S.w.t dan yang paling baik perhatiannya tentang apa yang disuruh dan dilarang Allah, meskipun sedikit berbuat amalan sunat".
(Diriwayatkan oleh Ibnu Mahbar dari Ibnu Qatadah)

Bersabda Nabi S.a.w:" Tidak adalah usaha seseorang seperti keutamaan akal, yang memberi petunjuk kepada yang empunya akal itu kepada petunjuk dan menariknya dari jalan yang hina. Tidak sempurnalah iman seseorang dan tidak berdiri tegak agamanya sebelum akalnya itu sempurna".
(Diriwayatkan oleh Ibnu Mahbar dari Umar r.a)

Qada' Solat

Sesiapa yang luput solat Zuhur sampai kepada waktu Asar, maka hendaklah ia mengerjakan solat zuhur dahulu, kemudian baru mengerjakan solat Asar.

Kalau ia memulai dengan Asar, memadai juga tetapi telah meninggalkan yang lebih utama dan menjerumuskan diri ke dalam persoalan yang diperselisihkan.

Kalau ia mendapati imam, maka hendaklah mengerjakan solat Asar, kemudian barulah ia mengerjakan Zuhur sesudahnya. Kerana berjemaah dengan solat ada' (solat dalam waktunya), adalah lebih utama.

Kalau ia bersolat sendirian pada awal waktu, kemudian ia mendapati solat jama'ah, maka bersolatlah lagi dalam jama'ah dan meniatkan solat waktu itu. Allah S.w.t akan menghitung mana yang dikehendakiNya. Kalau ia meniatkan solat yang tertinggal (solat qada') atau meniatkan solat sunat, maka boleh lah yang demikian.

Kalau ia telah bersolat jama'ah, kemudian memperoleh lagi jama'ah lain, maka hendaklah ia meniatkan solat yang tertinggal (solat qada') atau solat sunat. Kerana mengulangi solat yang sudah dilaksanakan dengan jama'ah, sekali lagi, tak ada alasan baginya. Cara berbuat demikian, adalah untuk memperoleh keutamaan berjama'ah semata-mata.

Istilah Yang Digunakan Di Dalam Ulum Hadis

Antara istilah² yang digunakan dalam Ulum al-hadith ialah sebagaimana berikut:

1. Sanad

Al- Sanad ialah jalan yang menghubungkan kepada matan. Ia juga bermaksud jalan yang menyampaikan kepada hadis.

Sanad dari segi bahasa ialah sesuatu yang kita bersandar kepadanya, seperti tembok, dinding dan sebagainya.

Sanad dari segi istilah hadis ia membawa maksud jalan yang menyampaikan kepada matan hadis. Dalam erti kata lain, ia bermaksud rangkaian perawi di dalam tabaqat.


2. Perawi

Perawi ialah orang yang meriwayatkan hadis.


3. Matan

Matan dari segi bahasa ialah pertengahan jalan.

Matan dari segi istilah ialah lafaz² hadis yang membentuk pengertian. Dengan kata lain ialah kata² atau lafaz² yang terletak sesudah perawi bermula daripada akhir sanad. Konteks lain, ia bermaksud hadis Nabi yang di akhir sanad.


4. Isnad

Isnad ialah menyandarkan sesuatu hadis kepada orang yang meriwayatkannya. Kadang² juga ia digunakan dengan makna al-Sanad. Ertikata lain, ia bermaksud menyebutkan hadis itu kepada orang yang menyatakannya.


5. Musnid

Al-Musnid ialah orang yang meriwayatkan hadis dengan isnadnya samada ia mengetahui ilmu hadis atau tidak. Ia juga disebut musabbid, iaitu orang yang meriwayatkan hadis dengan isnadnya.


6. Musnad

Musnad ialah nama bagi kitab² yang dikumpulkan di dalamnya apa² yang diriwayatkan oleh seorang sahabat atau lebih, seperti: Musnad Imam Ahmad. Ia juga bermaksud kitab yang dikumpulkan hadis di dalamnya yang diriwayatkan oleh seorang sahabat atau lebih.


7. Muhaddis

Muhaddis ialah orang yang mengetahui tentang hadis, sama ada Riwayah atau Dirayah dan kecacatannya. Juga mengetahui perawi² hadis daripada riwayat² yang ada pada zamannya dan mengingati sejumlah besar matan hadis daripada kitab yang sahih.

Konteks lain, muhaddis ialah mereka mengetahui perkara² yang luar biasa dan menguasai serta menghafaz kurang daripada 100 000 buah hadis. Antara mereka ialah:

a. Abu Bakr Ahmad Ibn Marwan al-Maliki.

b. Imam Abu Qasim Abdul Rahman.

c. Imam al-Busiri Hibatu Allah.

d. Imam Muhammad Ibn Abu Jamrah.

e. Imam Ahmad Ibn Hajar al-Haytimi.

Untuk itu Muhaddis ialah orang yang banyak menghafaz hadis serta menegtahui sifat² orang yang meriwayatkan tentang adil dan kecacatannya.


8. Muhafiz / Al-Hafiz

Dari segi bahasa, muhafiz ialah orang yang menghafaz.

Al-Hafiz dari sudut istilah pula, para ulama salaf mengatakan ia sama dengan muhaddis. Ada yang mengatakan, mereka ialah orang yang menghafaz sebanyak 100 000 buah hadis yang bersanad. Antara mereka yang mendapat darjat ini ialah:

a. Ibn Majah.

b. Abdul Rahman Ibn Mahdi.

c. Abu Bakr Ibn Shaybah.

d. Muhammad Ibn Hibban.

e. Abdul Rahman Ibn Abu Hatim al-Razi.

Untuk itu, hafiz ialah orang yang menghafaz sebanyak 100 000 hadis dengan isnadnya.


9. Hujjah

Hujah lebih tinggi daripada darjat hafiz, di samping itu mereka memiliki sifat yang ada pada hafiz. Mereka menghafaz hadis yang bersanad sebanyak 300 000 buah hadis dari segi matan, sanad, jarh, ta'dil serta sejarahnya. Antara mereka ialah:

a. Abu al-Huzayl Muhammad Ibn al-Walid al-Hims.

b. Ma'mar Ibn Rasyid.

c. Malik Ibn Ismail al-Hindi.

d. al-Hajjaj Ibn Minhal.

e. Abdullah Ibn Yusuf al-Kalla'i.


10. Hakim

Hakim ialah martabat yang tertinggi bagi ahli hadis. Iaitu orang yang menegtahui di dalam segenap hal di dalam perkara yang bersangkutan dengan hadis dan menghafaz hadis dengan bilangan yang lebih banyak daripada mereka yang telah disebutkan di atas.

Hakim juga adalah gelaran bagi mereka yang dapat menguasai serta menhafal lebih dariapda 700 000 buah hadis yang diriwayatkan dari segi sanad, matan, Jarh, ta'dil dan sejarahnya. Antara mereka yang mencapai martabat Hakim ialah:

a. Imam Malik Ibn Anas.

b. Imam Ahmad Ibn Hanbal.

c. Imam al-Bukhari.

d. Imam Muslim.

e. Imam at-Tirmizi


Jenayah Zina

Pengertian zina

Fuqaha' telah memberikan berbagai pengertian tertentu tentang zina ialah:

1. Menurut pengertian umum,zina ialah melakukan persetubuhan terhadap perempuan yang bukan milik secara sah, sedang penzina itu adalah seorang yang waras, baligh, dengan kemahuan sendiri serta ia mengetahui perbuatan yang dilakukannya itu adalah haram.

2. Perbuatan zina ialah pencabulan terhadap kemaluan perempuan yang diharamkan melalui persetubuhan haram yang bukan miliknya dan bukan milik yang kesamaran.

3. Perbuatan zina ialah melakukan persetubuhan haram terhadap faraj perempuan yang hidup, dengan kerelaannya sendiri, yang dilakukan di dalam negeri atau tempat yang menjalankan perundangan Islam, pada wanita yang bukan miliknya dan bukan milik secara kesamaran, dan bukan hak milik secara perkahwinan atau bukan milik secara perkahwinan yang kesamaran.


SYARAT HAD ZINA

Seseorang itu mestilah dikenakan had zina sama ada direjam atau disebat apabila mempunyai syarat berikut:

1. Cukup umur.
2. Waras
3. Kemahuannya sendiri
4. Jelas kelakian dan kewanitaannya, iaitu bukan khunsa.
5. Masuk kesemua hasyafah dalam faraj.
6. Persetubuhan yang bukan syubhat.


SABIT ZINA

Sesuatu persetubuhan haram secara umumnya dikira sabit sebagai perbuatan zina dengan tiga cara:

1. Disaksikan oleh 4 orang lelaki yang cukup syaratnya.
2. Pengakuan penzina yang cukup syaratnya.
3. Qarinah.


KETERANGAN SAKSI

Jumhur Ulama sepakat menyatakan sabit kesalahan dan had zina terhadap seseorang mestilah dengan penyaksian 4 orang saksi lelaki yang adil.

Firman Allah S.w.t:

وَٱلَّٰتِي يَأۡتِينَ ٱلۡفَٰحِشَةَ مِن نِّسَآئِكُمۡ فَٱسۡتَشۡهِدُواْ عَلَيۡهِنَّ أَرۡبَعَةٗ مِّنكُمۡۖ

Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.  (Surah An-Nisa':15)

Syarat saksi terhadap kes zina itu telah ditetapkan seramai 4 orang berdasarkan.

Firman Allah:

وَٱلَّذِينَ يَرۡمُونَ ٱلۡمُحۡصَنَٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَأۡتُواْ بِأَرۡبَعَةِ شُهَدَآءَ فَٱجۡلِدُوهُمۡ ثَمَٰنِينَ جَلۡدَةٗ وَلَا تَقۡبَلُواْ لَهُمۡ شَهَٰدَةً أَبَدٗاۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; -
(Surah An-Nur:4)

Seandainya saksi tersebut tidak cukup syaratnya seperti yang telah ditetapkan oleh syara', maka pendakwa mesti lah dikenakan had qazaf, iaitu sebatan sebanyak 80 kali.
Imam Syafi'i berpendapat bahawa tidak mengapa saksi² tersebut datang secara serentak semuanya atau secara berasingan. Semuanya dikira sah dalam memberikan keterangan. Saksi² yang datang memberikan keterangan secara berasingan itu lebih baik kerana ia boleh mengelakkan daripada berlaku pendustaan atau kemungkinan mereka sama² bersepakat untuk memberi keterangan palsu.


PENGAKUAN PENZINA

Menurut pendapat ulama syafi'i ialah pengakuan yang dibuat oleh penzina tidak semestinya sebanyak empat kali dan tidak perlu pada majlis yang berlainan. Pengakuan menjadi sah dan sudah memadai sekali sahaja, selagi tidak ada sebarang keraguan terhadap pengakuan penzina yang menyebabkan pengakuan itu ditolak.
Ulama Syafi'i berpendapat demikian kerana keterangan saksi dan pengakuan yang dibuat oleh penzina sendiri tidak sama keadaannya. Keterangan saksi terhadap orang lain mestilah diteliti dan mestilah ada empat orang saksi untuk mengelakkan daripada berlaku pembohongan. Manakala pengakuan penzina adalah terhadap diri sendiri. Mereka berpendapat demikian kerana Nabi menerima pengakuan Ma'iz dan merejamnya setelah beliau membuat pengakuan sebanyak empat kali. Itu adalah untuk memastikan ia benar² melakukan zina dan pengakuannya itu adalah dengan hati terbuka, dan ia benar² waras dan rela.

Berdasarkan kisah Ma'iz dan perempuan al-Ghamidiyyah, jumhur ulama sepakat mengatakan bahawa sabit kesalahan zina dan dikenakan had apabila pengakuan dibuat oleh penzina walaupun tanpa kehadiran pasangan mereka atau walaupun pasangan mereka menolak pengakuan pasangan yang membuat pengakuan zina dengannya. Ini kerana Ma'iz dan perempuan al-Ghamidiyyah direjam tanpa kehadiran pasangan mereka.


QARINAH

Imam Syafi'i berpendapat bahawa qarinah tidak semestinya dapat diterima dan bukan sebab yang membolehkan seseorang itu dikenakan had. Di mana menurut pendapat mereka, seseorang perempuan yang didapati mengandung tanpa suami tidak semestinya ia berzina, walaupun ia bukan seorang perempuan baik. Kerana kemungkinan besar ia telah dirogol, atau berlaku persetubuhan syubhat atau dipaksa.
Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, maksudnya:"Hendaklah kau elakkan (gugurkanlah) daripada menjatuhkan had apabila kamu dapati ada halangan atau syubhat."


HAD ZINA

Had kesalahan jenayah zina secara umumnya terbahagi kepada dua jenis,iaitu:

1.Rejam
2.Sebat dan buang daerah.


HUKUMAN REJAM DAN PENDAPAT ULAMA

Hukuman rejam sampai mati tersebut hanya dilaksanakan terhadap pasangan lelaki dan perempuan yang telah berkahwin dan bersetubuh (muhsan dan muhsanah) secara sah. Hukuman itu terdapat dalam nas al-Quran yang telah dimansuhkan bacaan serta tulisannya, namun hukumannya masih terus dikekalkan, di mana ayat tersebut sebelum dinasakhkan dari segi tulisan dan bacaan adalah sebahagian dari Surah al-Nur:

Terjemahan: Lelaki tua dan perempuan tua apabila keduanya berzina maka rejamlah keduanya sebagai balasan daripada Allah.
Hukuman rejam tersebut juga terdapat dalam hadis sahih serta sunnah fi'liyyah Baginda S.a.w.

Sabda Baginda S.a.w yang diriwayatkan daripada 'Ubadah bin al-Saamit yang bermaksud:"Ambillah daripadaku, sesungguhnya Allah telah menetapkan cara untuk mereka (terlepas dariapda dosa) dara dengan pria, hendaklah disebat 100 kali dan dibuang daerah setahun. Manakala yang telah berkahwin hendaklah disebat 100 kali dan direjam dengan batu."

Nabi S.a.w juga bersabda:" Orang tua lelaki dan orang tua perempuan yang berzina, maka rejamlah kedua²nya."

Walaupun hadis yang pertama di atas ada kekeliruan di mana penzina yang telah berkahwin hendaklah disebat 100 kali sebatan dan direjam, namun pendapat jumhur ulama ialah penzina yang telah berkahwin hanya direjam sampai mati sahaja, tanpa disebat lagi. Mereka berpendapat demikian berdasarkan dalil hadis lain dan Sunnah fi'liyyah dalam hadis sahih di mana Baginda S.a.w hanya merejam Ma'iz dan perempuan al-Ghamidiyyah serta terhadap dua orang Yahudi tanpa menyebat mereka dengan 100 sebatan.
Jumhur ulama berpendapat demikian juga dengan menambah lagi yang mana sebenarnya hukuman sebatan 100 kali terhadap penzina yang belum kahwin adalah sebagai pengajaran dan bukan untuk mematikan. Oleh itu sekiranya pasangan yang telah berkahwin itu disebat 100 kali sebelum direjam tidak ada guna terhadap mereka dan pengajaran itu tidak ada faedahnya, sebab mereka akan direjam sehingga mati selepas itu.

Pendapat jumhur ulama adalah dikira sah dan tepat. Di mana mereka menetapkan bahawa hukuman rejam itu telah sah dan memang jelas dengan perlaksanaan serta hadis Nabi S.a.w yang berbentuk qauliyyah dan fi'liyyah serta amalan para sahabat. Jumhur berhujah, walaupun hadis tersebut asalnya hadis Ahad, namun berdasarkan amalan Nabi S.a.w dan amalan para sahabat ia telah mencapai darjah yang tinggi dan sahih serta harus mentakhsiskan al-Quran yang umum dan wajib diterima penetapan hukumnya.


HUKUMAN SEBATAN DAN BUANG DAERAH SERTA PENDAPAT ULAMA

Hukum tersebut adalah terhadap penzina yang bukan muhsan. Hukuman sebatan 100 kali telah dijelaskan dalam al-Quran.

Firman Allah S.w.t:

ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِي فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٰحِدٖ مِّنۡهُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٖۖ

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat;  (Surah An-Nur:2)

Manakala hamba pula mestilah dikenakan sebatan separuh daripada sebatan terhadap orang yang yang merdeka. Iaitu sebanyak 50 kali sebatan.

Firman Allah S.w.t:

   مَا عَلَى ٱلۡمُحۡصَنَٰتِ مِنَ ٱلۡعَذَابِۚ

..kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka. (Surah Al-Nisa:25)

Dalam keadaan lain juga Rasulullah S.a.w bersabda (maksudnya):"Jika ia (hamba perempuan) berzina, maka sebatlah, sekiranya ia berzina lagi, maka ia berzina lagi, maka juallah ia walaupun dengan nilai seutas tali."

Tentang hukum buang daerah yang dilaksanakan di samping sebatan 100 kali seperti yang dijelaskan dalam hadis, ulama berpendapat iaitu hukum buang daerah adalah wajib dan ia hendaklah dilaksanakan serentak dengan hukuman sebatan 100 kali. Mereka berpendapat demikian kerana hukuman buang daerah itu juga adalah hukuman hudud yang sama dengan hukuman sebatan.

Sebatan dan buang daerah merupakan hukuman terhadap penzina yang bukan muhsan, berdasarkan hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi, yang bermaksud,:"Ambillah dariku, sesungguhnya Allah S.w.t telah menentukan bagi mereka yang dara dengan teruna rotan 100 kali dan dibuang daerah selama setahun, sesiapa yang telah berkahwin dengan yang telah berkahwin pula ialah sebatan 100 kali dan direjam."

Keutamaan Wudhu

Bersabda Rasulullah S.a.w:"Barangsiapa berwudhu,lalu dibaguskannya wudhunya dan dikerjakannya solat dua rakaat di mana ia tidak berbicara dengan dirinya dalam wudhu dan solat itu, sesuatu dari hal duniawi, nescaya keluarlah dia daripada segala dosanya seperti hari ia dilahirkan oleh ibunya".
(Diriwayatkan Al-Bukhari dan Muslim dari Usman bin 'Affan)

Dan pada riwayat yang lain. Dan ia tiada lalai di dalam wudhu dan solat itu, nescaya diampunkan apa yang terdahulu daripada dosanya.

Bersabda Nabi S.a.w pula:"Adakah tidak aku khabarkan kepadamu, dengan apa ditutupkan oleh Allah segala kesalahan dan diangkat ke darjat tinggi? Iaitu melengkapkan wudhu dengan terpeliharanya daripada makruh, mengangkatkan tapak kaki ke masjid dan menunggu solat sesudah solat. Maka kelengkapan wudhu itu tiga² kali".
(Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Nabi S.a.w berwudhu sekali², seraya bersabda:"Inilah wudhu yang tidak diterima Allah solat selain dengan ini".

Dan Nabi S.a.w berwudhu dua² kali, seraya bersabda:"Barangsiapa berwudhu dua² kali, nescaya didatangkan oleh Allah kepadanya pahala dua kali".

Dan Nabi S.a.w berwudhu tiga² kali, seraya bersabda:"Inilah wudhuku dan wudhu nabi² sebelumku dan wudhu kesayangan Tuhan, Ibrahim a.s".
(Hadis riwayat Ibnu Majah dari Ibnu Umar, isnad dhaif)

Bersabda Nabi S.a.w:"Barangsiapa mengingati Allah ketika berwudhu, nescaya disucikan oleh Allah tubuhnya seluruhnya. Dan barangsiapa tiada mengingati Allah, nescaya tiada disucikan oleh Allah daripada tubuhnya selain yang kena air saja".
(Hadis riwayat Daraquthni dari Abu Hurairah, isnad dhaif)

Bersabda Nabi S.a.w:"Barangsiapa berwudhu, di mana ia masih di dalam suci (wudhu), nescaya dituliskan Allah baginya sepuluh kebaikan".

Bersabda Nabi S.a.w:"Berwudhu di atas wudhu (ertinya, masih lagi ada wudhu), maka itu adalah nur di atas nur".

Hadis² tadi semua adalah mengajak supaya membaharukan wudhu, meskipun ada wudhu.

Bersabda Nabi S.a.w:"Apabila berwudhulah seorang hamba muslim, lalu ia berkumur², nescaya keluarlah segala kesalahan dari mulutnya. Dan apabila ia membersihkan hidungnya, maka keluarlah segala kesalahan dari hidungnya. Apabila ia membasuh mukanya, maka keluarlah segala kesalahan dari mukanya, sehingga keluarlah segala kesalahan itu dari pinggir bawah kedua matanya. Apabila ia membasuh kedua tangannya, nescaya keluarlah segala keslahan dari kedua tangannya, sehingga keluarlah segala kesalahan itu dari bawah kuku²nya. Apabila ia menyapu kepalanya, nescaya keluarlah segala kesalahan dari kepalanya, sehingga keluarlah segala kesalahan itu dari bawah kedua telinganya. Dan apabila ia membasuh kedua kakinya, nescaya keluarlah segala kesalahan dari kedua kakinya, sehingga keluarlah dari bawah kuku² kedua kakinya itu. Kemudian adalah perjalanannya ke masjid dan solatnya itu sunat baginya".
(Hadis riwayat An-Nasa-i dan Ibnu Majah dari Ash-Shahabihi, isnad sahih)

Diriwayatkan bahawa Nabi S.a.w bersabda:"Sesungguhnya orang yang bersuci itu adalah seperti orang berpuasa".

Bersabda Nabi S.a.w:"Barangsiapa berwudhu, lalu dibaguskannya wudhu itu, kemudian diangkatkannya matanya ke langit, lalu membaca:

اَشْهَدُ اَنْ لَااِلٰهَ اِلَّااللهُ وَحْدَهُ لَاشَرِيْكَ لَهٗ وَاَشْهَدُاَنَّ مُحَمَّدًاعَبْدُهٗ وَرَسُوْلُهٗ،

Maksudnya:"Aku mengaku bahawasanya tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, yang tiada sekutu bagiNya dan RasulNya". Nescaya dibukakan baginya pintu syurga kelapan, ia masuk ke mana yang disukainya".
(Hadis riwayat Abu Daud dari 'Uqabah bin 'Amir)

Berkata Umar r.a:"Sesungguhnya wudhu yang baik, mengusirkan syaitan daripada engkau".

Berkata Mujahid:"Barangsiapa sanggup tiada tidur malam, selain dia dalam keadaan suci, berzikir dan memohon keampunan Allah, maka hendaklah ia berbuat. Maka sesungguhnya segala nyawa itu dibangkitkan di dalam keadaan waktu diambil dahulu".