Dari Anas r.a, Nabi S.a.w bersabda:"Barangsiapa mengahwini wanita kerana hartanya dan kecantikannya, nescaya ia tidak akan memperoleh kecantikan dan hartanya itu. Dan barangsiapa mengahwini wanita kerana agamanya, nescaya dianugerahkan oleh Allah kepadanya hartanya dan kecantikannya".
(Hadis riwayat At-Thabrani)
Dari Abdullah bin Umar, Nabi S.a.w bersabda:"Janganlah dikahwini wanita itu kerana kecantikannya. Mungkin kecantikannya itu merendahkannya. Dan jangan kerana hartanya. Mungkin hartanya itu, menderhakakannya. Dan kahwinlah wanita itu kerana agamanya!"
(Hadis riwayat Ibnu Majah, dengan sanad dhaif)
Memilih wanita yang beragama itu penting dan harus diperhatikan sungguh². Kerana kalau wanita itu lemah keagamaannya, dalam menjaga dirinya dan kemaluannya, nescaya ia akan melipati suaminya. Ia menghitamkan wajah suaminya di muka orang ramai. Ia mengacaukan hati suaminya dengan kecemburuan. Dan ia mengeruhkan kehidupan suaminya dengan yang demikian itu.
Kalau suami itu menempuh jalan penjagaan dan kecemburuan, nescaya selalulah dia dalam percubaan dan bencana. Dan kalau suami itu menempuh jalan kemudahan, nescaya jadilah ia bermudah² dengan agama dan kehormatannya. Dan termasuklah ia orang yang kurang penjagaan dan berpendirian tegas.
Dan apabila bersama kerosakan budi, wanita itu cantik, maka bencananya lebih hebat lagi. Kerana suami itu sulit berpisah dengan dia. Tak sabar jauh dari padanya dan tak sampai hati menyakitkannya.
Kalau wanita itu perosak agama, dengan menghabiskan harta suaminya atau dengan cara lain, nescaya sentiasalah kehidupan suami itu keruh. Kalau berdiam diri, tidak ditentangnya, nescaya ia sekongkol dengan kemaksiatan.
Firman Allah S.w.t, maksudnya:"Peliharalah dirimu dan kaum keluargamu dari api neraka!" (Surah At-Tahrim:6)
Kalau ditentangnya dan berbantah, nescaya keruhlah seumur hidupnya, dan kerana itulah dengan tegas Rasulullah S.a.w mendorong supaya berkahwin dengan yang beragama.
Dari Abu Hurairah r.a, Nabi S.a.w bersabda:"Wanita itu dikahwini kerana hartanya, kecantikannya, keturunannya dan keagamaannya. Maka haruslah engkau dengan yang beragama. Kalau tidak, nescaya melekatlah kedua tanganmu ke tanah!"
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dan juga penting memilih wanita yang baik budi pekertinya dalam mencari keselesaan hati dan pertolongan dalam agama. Kerana apabila wanita itu keras, kasar lidah dan jahat budi pekerti serta kufur kepada kenikmatan, nescaya adalah kemelaratan lebih banyak daripadanya dibandingkan dengan kemanfaatan. Dan dapat bersabar terhadap lidah kaum wanita, adalah termasuk hal² yang mendapat ujian para wali daripadanya.
Berkata setengah orang Arab:" Jangan engkau kahwini wanita yang enam ini iaitu yang ananah, yang mananah, yang hananah, yang hadaqah, yang baraqah dan yang syadaqah.
Adapun yang ananah iaitu wanita yang banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat mengikat kepalanya. Maka mengahwini wanita yang memperalatkan sakit atau mengahwini wanita yang membuat² sakit, tak adalah kebajikan padanya.
Dan yang mananah iaitu wanita yang suka membangkit² terhadap suaminya. Wanita itu mengatakan :"Aku perbuat demikian dan demikian kerana kanda".
Dan yang hananh iaitu wanita yang menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain atau anaknya dari suami yang lain. Dan inipun termasuk yang harus dijauhi.
Dan yang hadaqah iaitu wanita yang melemparkan pandangan dan matanya kepada setiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya dan memaksakan suami untuk membelinya.
Dan yang baraqah pula ada dua pengertian. Yang pertama ialah wanita itu sepanjang hari mengilatkan mukanya dan menghiaskannya, supaya mukanya berkilat yang diperoleh dari buatannya itu. Yang kedua ialah wanita itu marah kepada makanan. Ia tak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya dari tiap² makanan itu.
Dan yang syadaqah ialah wanita yang nyinyir banyak perkataan.
Nabi S.a.w bersabda:" Sesungguhnya Allah S.w.t memarahi orang² yang banyak bicara tak menentu lagi yang nyinyir".
(Hadis riwayat At-Tirmizi dari Jabir)