Jenayah Zina

Pengertian zina

Fuqaha' telah memberikan berbagai pengertian tertentu tentang zina ialah:

1. Menurut pengertian umum,zina ialah melakukan persetubuhan terhadap perempuan yang bukan milik secara sah, sedang penzina itu adalah seorang yang waras, baligh, dengan kemahuan sendiri serta ia mengetahui perbuatan yang dilakukannya itu adalah haram.

2. Perbuatan zina ialah pencabulan terhadap kemaluan perempuan yang diharamkan melalui persetubuhan haram yang bukan miliknya dan bukan milik yang kesamaran.

3. Perbuatan zina ialah melakukan persetubuhan haram terhadap faraj perempuan yang hidup, dengan kerelaannya sendiri, yang dilakukan di dalam negeri atau tempat yang menjalankan perundangan Islam, pada wanita yang bukan miliknya dan bukan milik secara kesamaran, dan bukan hak milik secara perkahwinan atau bukan milik secara perkahwinan yang kesamaran.


SYARAT HAD ZINA

Seseorang itu mestilah dikenakan had zina sama ada direjam atau disebat apabila mempunyai syarat berikut:

1. Cukup umur.
2. Waras
3. Kemahuannya sendiri
4. Jelas kelakian dan kewanitaannya, iaitu bukan khunsa.
5. Masuk kesemua hasyafah dalam faraj.
6. Persetubuhan yang bukan syubhat.


SABIT ZINA

Sesuatu persetubuhan haram secara umumnya dikira sabit sebagai perbuatan zina dengan tiga cara:

1. Disaksikan oleh 4 orang lelaki yang cukup syaratnya.
2. Pengakuan penzina yang cukup syaratnya.
3. Qarinah.


KETERANGAN SAKSI

Jumhur Ulama sepakat menyatakan sabit kesalahan dan had zina terhadap seseorang mestilah dengan penyaksian 4 orang saksi lelaki yang adil.

Firman Allah S.w.t:

وَٱلَّٰتِي يَأۡتِينَ ٱلۡفَٰحِشَةَ مِن نِّسَآئِكُمۡ فَٱسۡتَشۡهِدُواْ عَلَيۡهِنَّ أَرۡبَعَةٗ مِّنكُمۡۖ

Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.  (Surah An-Nisa':15)

Syarat saksi terhadap kes zina itu telah ditetapkan seramai 4 orang berdasarkan.

Firman Allah:

وَٱلَّذِينَ يَرۡمُونَ ٱلۡمُحۡصَنَٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَأۡتُواْ بِأَرۡبَعَةِ شُهَدَآءَ فَٱجۡلِدُوهُمۡ ثَمَٰنِينَ جَلۡدَةٗ وَلَا تَقۡبَلُواْ لَهُمۡ شَهَٰدَةً أَبَدٗاۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; -
(Surah An-Nur:4)

Seandainya saksi tersebut tidak cukup syaratnya seperti yang telah ditetapkan oleh syara', maka pendakwa mesti lah dikenakan had qazaf, iaitu sebatan sebanyak 80 kali.
Imam Syafi'i berpendapat bahawa tidak mengapa saksi² tersebut datang secara serentak semuanya atau secara berasingan. Semuanya dikira sah dalam memberikan keterangan. Saksi² yang datang memberikan keterangan secara berasingan itu lebih baik kerana ia boleh mengelakkan daripada berlaku pendustaan atau kemungkinan mereka sama² bersepakat untuk memberi keterangan palsu.


PENGAKUAN PENZINA

Menurut pendapat ulama syafi'i ialah pengakuan yang dibuat oleh penzina tidak semestinya sebanyak empat kali dan tidak perlu pada majlis yang berlainan. Pengakuan menjadi sah dan sudah memadai sekali sahaja, selagi tidak ada sebarang keraguan terhadap pengakuan penzina yang menyebabkan pengakuan itu ditolak.
Ulama Syafi'i berpendapat demikian kerana keterangan saksi dan pengakuan yang dibuat oleh penzina sendiri tidak sama keadaannya. Keterangan saksi terhadap orang lain mestilah diteliti dan mestilah ada empat orang saksi untuk mengelakkan daripada berlaku pembohongan. Manakala pengakuan penzina adalah terhadap diri sendiri. Mereka berpendapat demikian kerana Nabi menerima pengakuan Ma'iz dan merejamnya setelah beliau membuat pengakuan sebanyak empat kali. Itu adalah untuk memastikan ia benar² melakukan zina dan pengakuannya itu adalah dengan hati terbuka, dan ia benar² waras dan rela.

Berdasarkan kisah Ma'iz dan perempuan al-Ghamidiyyah, jumhur ulama sepakat mengatakan bahawa sabit kesalahan zina dan dikenakan had apabila pengakuan dibuat oleh penzina walaupun tanpa kehadiran pasangan mereka atau walaupun pasangan mereka menolak pengakuan pasangan yang membuat pengakuan zina dengannya. Ini kerana Ma'iz dan perempuan al-Ghamidiyyah direjam tanpa kehadiran pasangan mereka.


QARINAH

Imam Syafi'i berpendapat bahawa qarinah tidak semestinya dapat diterima dan bukan sebab yang membolehkan seseorang itu dikenakan had. Di mana menurut pendapat mereka, seseorang perempuan yang didapati mengandung tanpa suami tidak semestinya ia berzina, walaupun ia bukan seorang perempuan baik. Kerana kemungkinan besar ia telah dirogol, atau berlaku persetubuhan syubhat atau dipaksa.
Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, maksudnya:"Hendaklah kau elakkan (gugurkanlah) daripada menjatuhkan had apabila kamu dapati ada halangan atau syubhat."


HAD ZINA

Had kesalahan jenayah zina secara umumnya terbahagi kepada dua jenis,iaitu:

1.Rejam
2.Sebat dan buang daerah.


HUKUMAN REJAM DAN PENDAPAT ULAMA

Hukuman rejam sampai mati tersebut hanya dilaksanakan terhadap pasangan lelaki dan perempuan yang telah berkahwin dan bersetubuh (muhsan dan muhsanah) secara sah. Hukuman itu terdapat dalam nas al-Quran yang telah dimansuhkan bacaan serta tulisannya, namun hukumannya masih terus dikekalkan, di mana ayat tersebut sebelum dinasakhkan dari segi tulisan dan bacaan adalah sebahagian dari Surah al-Nur:

Terjemahan: Lelaki tua dan perempuan tua apabila keduanya berzina maka rejamlah keduanya sebagai balasan daripada Allah.
Hukuman rejam tersebut juga terdapat dalam hadis sahih serta sunnah fi'liyyah Baginda S.a.w.

Sabda Baginda S.a.w yang diriwayatkan daripada 'Ubadah bin al-Saamit yang bermaksud:"Ambillah daripadaku, sesungguhnya Allah telah menetapkan cara untuk mereka (terlepas dariapda dosa) dara dengan pria, hendaklah disebat 100 kali dan dibuang daerah setahun. Manakala yang telah berkahwin hendaklah disebat 100 kali dan direjam dengan batu."

Nabi S.a.w juga bersabda:" Orang tua lelaki dan orang tua perempuan yang berzina, maka rejamlah kedua²nya."

Walaupun hadis yang pertama di atas ada kekeliruan di mana penzina yang telah berkahwin hendaklah disebat 100 kali sebatan dan direjam, namun pendapat jumhur ulama ialah penzina yang telah berkahwin hanya direjam sampai mati sahaja, tanpa disebat lagi. Mereka berpendapat demikian berdasarkan dalil hadis lain dan Sunnah fi'liyyah dalam hadis sahih di mana Baginda S.a.w hanya merejam Ma'iz dan perempuan al-Ghamidiyyah serta terhadap dua orang Yahudi tanpa menyebat mereka dengan 100 sebatan.
Jumhur ulama berpendapat demikian juga dengan menambah lagi yang mana sebenarnya hukuman sebatan 100 kali terhadap penzina yang belum kahwin adalah sebagai pengajaran dan bukan untuk mematikan. Oleh itu sekiranya pasangan yang telah berkahwin itu disebat 100 kali sebelum direjam tidak ada guna terhadap mereka dan pengajaran itu tidak ada faedahnya, sebab mereka akan direjam sehingga mati selepas itu.

Pendapat jumhur ulama adalah dikira sah dan tepat. Di mana mereka menetapkan bahawa hukuman rejam itu telah sah dan memang jelas dengan perlaksanaan serta hadis Nabi S.a.w yang berbentuk qauliyyah dan fi'liyyah serta amalan para sahabat. Jumhur berhujah, walaupun hadis tersebut asalnya hadis Ahad, namun berdasarkan amalan Nabi S.a.w dan amalan para sahabat ia telah mencapai darjah yang tinggi dan sahih serta harus mentakhsiskan al-Quran yang umum dan wajib diterima penetapan hukumnya.


HUKUMAN SEBATAN DAN BUANG DAERAH SERTA PENDAPAT ULAMA

Hukum tersebut adalah terhadap penzina yang bukan muhsan. Hukuman sebatan 100 kali telah dijelaskan dalam al-Quran.

Firman Allah S.w.t:

ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِي فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٰحِدٖ مِّنۡهُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٖۖ

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat;  (Surah An-Nur:2)

Manakala hamba pula mestilah dikenakan sebatan separuh daripada sebatan terhadap orang yang yang merdeka. Iaitu sebanyak 50 kali sebatan.

Firman Allah S.w.t:

   مَا عَلَى ٱلۡمُحۡصَنَٰتِ مِنَ ٱلۡعَذَابِۚ

..kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka. (Surah Al-Nisa:25)

Dalam keadaan lain juga Rasulullah S.a.w bersabda (maksudnya):"Jika ia (hamba perempuan) berzina, maka sebatlah, sekiranya ia berzina lagi, maka ia berzina lagi, maka juallah ia walaupun dengan nilai seutas tali."

Tentang hukum buang daerah yang dilaksanakan di samping sebatan 100 kali seperti yang dijelaskan dalam hadis, ulama berpendapat iaitu hukum buang daerah adalah wajib dan ia hendaklah dilaksanakan serentak dengan hukuman sebatan 100 kali. Mereka berpendapat demikian kerana hukuman buang daerah itu juga adalah hukuman hudud yang sama dengan hukuman sebatan.

Sebatan dan buang daerah merupakan hukuman terhadap penzina yang bukan muhsan, berdasarkan hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi, yang bermaksud,:"Ambillah dariku, sesungguhnya Allah S.w.t telah menentukan bagi mereka yang dara dengan teruna rotan 100 kali dan dibuang daerah selama setahun, sesiapa yang telah berkahwin dengan yang telah berkahwin pula ialah sebatan 100 kali dan direjam."