Firman Allah S.w.t:"Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki?"
(Surah An-Naba':11)
Firman Allah S.w.t:"Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur."
(Surah Al-A'raf:10)
Firman Allah S.w.t:"Tidaklah mengapa kalau kamu mencari kurniaan Tuhanmu (rezeki)"
(Surah Al-Baqarah:198)
Firman Allah S.w.t:"Dan yang lain sedang berjalan di muka bumi untuk mencari kurniaan Allah". (Surah Al-Muzammil:20)
Firman Allah S.w.t:"Maka bertebaranlah di muka bumi dan carilah kurnia Allah"
(Surah Al-Jumuah:10)
Nabi S.a.w bersabda:"Sebahagian dari dosa ialah dosa yang tiada dihapuskan, melainkan oleh kesusahan pada mencari penghidupan".
Nabi S.a.w bersabda:"Saudagar yang benar, akan dibangkitkan pada hari kiamat bersama orang-orang siddiq dan orang-orang syahid"
(Diriwayatkan At-Tirmizi dan Al-Hakim dari Abi Sa'id)
Nabi S.a.w bersabda:"Barangsiapa mencari dunia secara halal, menjaga diri dari meminta-minta, berusaha untuk keluarga dan menaruh kasih sayang kepada jiran tetangga, nescaya ia menjumpai Allah S.w.t, sedang wajahnya seperti bulan pada malam purnama".
(Diriwayatkan oleh Abu Syeikh dan Al-Baihaqi dari Abu Hurairah, dengan sanad dhaif)
"Adalah Nabi S.a.w duduk bersama para sahabatnya pada suatu hari, lalu mereka itu melihat seorang pemuda yang tabah dan kuat. Ia pagi-pagi benar pergi berusaha. Maka mereka itu berkata:"Alangkah baiknya, pemuda ini, kalau adalah mudanya dan tabahnya fi sabilillah!"
Maka Nabi S.a.w menjawab:"Jangan engkau mengatakan itu! Kerana kalau ia berusaha untuk dirinya, supaya ia tercegah dari meminta-mintai dan ia tidak memerlukan kepada pertolongan orang lain, maka dia itu sudah fi sabilillah. Dan kalau ia berusaha untuk kedua ibu bapanya yang lemah atau keturunannya yang lemah, untuk memenuhi dan mencukupkan keperluan mereka, maka ia sudah fi sabi lillah. Dan kalau ia berusaha untuk membanggakan diri dan membanyakkan harta, maka ia sudah fi sabili syaitan (pada jalan syaitan).
(Diriwayatkan oleh At-Tabrani dari Kaab bin 'Ajrah, sanad dhaif)
Nabi S.a.w bersabda:" Sesungguhnya Allah menyukai hambaNya yang mengambil sesuatu pekerjaan untuk memperoleh kecukupan daripada meminta bantuan orang lain. Dan Allah S.w.t memurkai hambaNya yang mempelajari ilmu pengetahuan yang diperbuatnya ilmu itu untuk perusahaan".
Pada suatu hadis tersebut:" Sesungguhnya Allah S.w.t mencintai orang mukmin yang berusaha". Dan Nabi S.a.w bersabda:"Yang lebih halal dari apa yang dimakan oleh seseorang ialah dari hasil usahanya sendiri. Dan segala jual beli itu mempunyai kebajikan". Dan pada hadis yang lain tersebut:"Yang lebih halal dari apa yang dimakan oleh seorang hamba ialah usaha dari tangan pekerja apabila ia bekerja dengan jujur".
Dan Nabi S.a.w bersabda:"Haruslah kamu berniaga kerana pada perniagaan itu 9/10 dari rezeki!."
Dan diriwayatkan, bahawa Nabi Isa A.s melihat seorang lelaki, lalu bertanya:"Apakah yang engkau kerjakan?"
Lelaki itu menjawab:"Aku beribadah".
Nabi Isa A.s bertanya lagi:"Siapakah yang menanggung perbelanjaanmu?"
Lelaki itu menjawab:"Saudara saya!"
Lalu Nabi Isa A.s menyambung:"Saudaramu lebih banyak ibadahnya daripada kamu!"
Nabi S.a.w bersabda:"Sesungguhnya aku tiada mengetahui sesuatu yang mendekatkan kamu ke syurga dan menjauhkan kamu dari neraka melainkan aku suruh kamu dengan dia. Dan sesungguhnya aku tiada mengetahui sesuatu yang menjauhkan kamu dari syurga dan mendekatkan kamu ke neraka, melainkan aku larang kamu daripadanya. Sesungguhnya malaikat Jibrail menghembuskan ke dalam hatiku, bahawa nyawa itu tidak mati sehingga ia memperoleh dengan sempurna akan rezekinya, walaupun terlambat daripadanya. Maka bertaqwalah kepada Allah dan bertindaklah dengan baik dalam mencari rezeki!" Nabi S.a.w menyuruh dengan tindakan yang baik dalam mencari dan beliau tidak mengatakan: Tinggalkanlah mencari!"
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya dan Al-Hakim dari Ibnu Mas'ud)
Dari Nabi S.a.w bersabda:"Barangsiapa membuka kepada dirinya satu pintu dari meminta-minta, nescaya dibukakan oleh Allah kepadanya 70 pintu dari kemiskinan".
(Diriwayatkan oleh At-Tirmuzi dari Abi Kabsyah)