Aisyah Sumber Rujukan Ilmu


Ketika Rasulullah saw ditanya, "Siapa orang yang paling anda cintai?" Baginda menjawab:" Aisyah." Merasa kurang puas, si penanya mengulang lagi, "Aku maksudkan dari kaum lelaki?" Menjawablah Rasulullah, "Ayahnya."

Jawapan Rasulullah itu sudah cukup memberi gambaran siapa dan bagaimama kedudukan Aisyah salah seorang isteri Muhammad. Bapanya, yakni Abu Bakar termasuk sahabat Rasulullah yang setia dan pemurah. "Tiada aku menyeru seseorang kepada Islam, melainkan dia bimbang dan ragu-ragu kecuali Abu Bakar, tidaklah dia menunggu dan bimbang ketika ku ceritakan kepadanya tentang Islam,' begitu pernyataan Rasulullah tentang Abu Bakar.

Begitu besarnya peranan Abu Bakar dalam sejarah penyebaran Islam pertama kali di Makkah, sehinggalah Rasulullah mengatakan, "Tidaklah bermanfaat bagiku harta seseorang pun seperti manfaat harta Abu Bakar". Mendengar itu Abu Bakar menangis, "Ya Rasulullah, bukankah aku dan hartaku hanya untukmu?"

Turutan dari nasabnya, Aisyah dengan Muhammad suaminya, bertemu pada datuknya Murrah bin Kaab. Aisyah berasal dari Bani Tamim yang terkenal dengan sifatnya yang pemurah dan berani, jujur, tepat berpendapat dan berlaku baik kepada kaum wanitanya. Sementara itu, Abu Bakar, ayah Aisyah adalah ahli nasab Quraisy, seorang pedagang yang berakhlak mulia. Banyak orang yang hormat kepadanya kerana ilmu, pengalaman serta pergaulannya yang baik.

Tentang kemurahan hati dan kezuhudan Aisyah, kitab sejarah menceritakan ketika dia pernah mendapat 100,000 dirham wang. Wang itu lantas dia bagi bagikan sementara dia dalam keadaan berpuasa. Lalu bertanya Ummi Burdah kepadanya, "Tidakkah engkau mampu membeli daging harga satu dirham untuk berbuka puasa dengannya?" Maka menjawablah Aisyah, "Andaikata engkau ingatkan aku, tentu aku lakukan."

Tentang ilmu dan adabnya, berkatalah Abu Musa, "Bila kami para sahabat mengalami kesulitan dalam suatu perkara, maka kami menanyakan jawapannya pada Aisyah". Musa bin Talhah juga memberi penilaian yang sama. "Tidaklah kulihat orang yang lebih fasih daripada Aisyah". Diriwayatkan oleh Abu Dhuha, dari Masruq, bahawa para sahabat sering bertanya kepada Aisyah tentang faraid. Sementara itu diriwayatkan dari Atha' bin Rabah, "Adalah Aisyah termasuk orang yang paling baik pendapatnya mengenai masalah umum. Adalah Aisyah tempat berguru kaum pemuda dan banyak muridnya yang terkenal kemudian menjadi guru- guru dan ikutan bagi generasi selanjutnya."


JANGAN GANGGU AKU

Sebagai isteri Rasulullah, Aisyah sering membuat cemburu para isteri Nabi."Jangan ganggu aku mengenai Aisyah, kerana demi Allah tidaklah turun wahyu kepadaku dalam selimut seorang wanita di antara kamu selain dia," kata Rasulullah kepada mereka.

Kepada para isteri Rasulullah yang lain, Aisyah pernah berkata demikian, "Aku membanggakan diriku kepada para isteri Nabi S.a.w dengan empat hal. Baginda mengahwini aku sebagai perawan dan tidak pernah mengahwini seorang perawan selain aku. Tidak pernah turun Al- Quran kepada Nabi sejak baginda berumah tangga denganku, kecuali di rumahku. Pernah turun wahyu Al- Quran mengenai kebersihanku dari tuduhan. Jibrail pernah datang kepada Nabi dengan rupaku sebanyak dua kali sebelum Nabi berkahwin dengan aku".

Suatu ketika Aisyah berkata, "Ayah dan ibuku menjadi tebusanmu ya Rasulullah, maka berdoalah kepada Allah agar Dia mengampuni dosaku yang terdahulu dan akan datang. Maka baginda lalu mengangkat kedua tangannya hingga terlihat kedua ketiaknya yang putih. Lalu berkata, "Ya Allah, ampunilah Aisyah binti Abu Bakar dengan ampunan lahir dan batin, tidak meninggalkan dosa dan tidak pula menghasilkan dosa sesudahnya".

Aisyah sangat gembira dengan doa yang mustajab itu dan menyangka doa itu khusus baginya. Maka bersabdalah Nabi, "Demi Tuhan yang mengutusku dengan kebenaran. Aku tidak mengkhususkanmu dengan doa itu di antara umatku. Dan itu adalah doaku bagi umatku di waktu malam dan siang, iaitu siapa yang sudah lewat dari mereka dan yang masih hidup hingga hari kiamat."

Maka berkatalah Usaid bin Hadhair, "Ini bukanlah berkatmu yang pertama bagi kami, hai keluarga Abu Bakar". Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Usaid mengucapkan perkataan ini ketika rasul dan kaum Muslimin tertahan dalam suatu peperangan kerana putusnya kalung Aisyah, sedang mereka tidak punya persediaan air. Maka turunlah ayat tayamum.


PANGGILAN RASULULLAH

Mengenai kisah perkahwinan Aisyah dengan Muhammad, ikutilah cerita Khaulah binti Hakim di bawah ini.

Aku memasuki rumah Abu Bakar dan di situ aku menjumpai Ummu Ruman, ibu Aisyah. Lalu aku berkata kepadanya, "Apakah kebaikan dan berkat telah dimasukkan Allah kepada kamu?" Ummu Ruman bertanya, "Apakah itu ya Khaulah?" Kujawab, "Rasulullah mengutusku untuk meminang Aisyah baginya".

"Ketika Abu Bakar datang," lanjut Khaulah; "Aku ceritakan pula kepadanya seperti yang sudah aku ceritakan kepada isterinya. Kemudian Abu Bakar minta aku menunggu sampai dia pulang kerana Aisyah telah dipinang oleh Muth'im bin Jubair untuk putera Jubair yang sudah dipersetujui oleh Abu Bakar. Tapi Muth'im dan isterinya Khuatir bila puteranya sudah kahwin dengan Aisyah, puteranya akan masuk Islam."

"Ketika Abu Bakar kembali ke rumahnya, dia berkata kepada aku, "lanjut Khaulah. "Panggillah Rasulullah kepadaku," kata Abu Bakar. "Maka aku pun memanggilnya dan datanglah baginda ke rumah Abu Bakar sahabatnya. Kemudian Abu Bakar mengahwinkannya dengan Aisyah, cuma baginda belum serumah dengan Aisyah sampai setelah hijrah ke Madinah al-Munawarah."

Untuk lebih lengkapnya, dengar pula tuturan Aisyah sendiri tentang perkahwinannya. "Suatu hari datanglah Rasulullah ke rumah kami. Lalu berkumpullah para lelaki dan wanita Ansar. Ibuku datang kepadaku waktu aku berada di atas bandulan lalu menurunkanku. Kemudian dia merapikan rambutku dan mengusap wajahku dengan sedikit air. Aku kemudian dibimbingnya masuk ke rumah dan kulihat Rasulullah di rumah kami, lalu aku didudukkan di pangkuannya." Ibuku lalu berkata, "Inilah isterimu ya Rasulullah. Semoga Allah memberimu berkat kepadanya dan memberinya berkat kepadamu."

Dikisahkan, Aisyah adalah seorang pengantin manis yang memiliki dua mata yang luas, berambut kerinting serta wajah yang kemerah- merahan. Meskipun waktu itu masih muda belia, namun sejak memasuki rumah Rasulullah, semua orang merasakan kehadirannya. Dia dibesarkan oleh Rasulullah sejak kanak- kanak hingga menjadi gadis yang matang dengan pengalaman. Dia sering didatangi para wanita untuk berbicara, diminta pendapat serta bermesyuarat.

Salah seorang di antaranya bertanya tentang masalah perhiasan dan cara berhias. Aisyah lalu menasihatinya, "Jika engkau mempunyai suami, dan jika engkau mampu mengganti kedua biji matamu dengan yang lebih baik, maka lakukanlah."


PERKAHWINAN YANG ANEH?

Sebahagian kaum orientalis Barat menganggap aneh perkahwinan Rasulullah dengan Aisyah kerana perkahwinan antara lelaki dewasa dengan seorang perawan yang masih kecil. Para orientalis itu telah salah anggap kerana mengibaratkan gadis- gadis di Jazirah Arab dengan gadis- gadis Barat yang moden. Gadis Barat biasanya tidak akan berkahwin sebelum mencapai usia 25 tahun, sementara gadis seusia itu di Jazirah Arab dianggap sebagai usia perkahwinan yang lambat. Hal ini berlaku sampai sekarang.

Setelah mengunjungi Jazirah Arab dan melakukan kajian, seorang orientalis secara jujur berkata, " Meskipun masih kecil, namun Aisyah mengalami pertumbuhan cepat seperti yang dialami wanita- wanita Arab di akhir umur yang melampaui 20 tahun.

Boudley juga berkata, "Perkahwinan seperti itu merupakan adat bangsa Asia dan adat seperti itu masih berlaku juga di timur Eropah. Suatu hal yang lumrah di Sepanyol dan Portugis hingga tahun- tahun kebelakangan ini. Kebiasaan itu bukanlah hal yang luar biasa di sebahagian kawasan pergunungan yang jauh dari Amerika Selatan."


WANITA ANSAR

Aisyah adalah di antara isteri Rasulullah yang paling banyak memperoleh didikan langsung Rasulullah, menghayati kebesaran dan keutamaannya, menerima ilmu, hikmah serta petunjuk darinya. Tidak hairanlah jika sesudah Rasulullah wafat, dia menjadi sumber rujukan kuat tentang hadis Rasul dan sunnahnya serta perilaku yang diriwayatkan oleh para rawi dan ahli hadis, terutamanya mengenai masalah wanita.

Dia pernah menderita akibat fitnah al Ifk yang ditiupkan oleh pemimpin orang munafik Abdullah bin Ubay bin Salul. Fitnah itu juga membuat Rasulullah menderita sehingga Allah menurunkan wahyu untuk membersihkannya. Dengan wahyu Al- Quran itu nama Aisyah bersih dan terjaga. Dengan wahyu Al-Quran itu, kaum Muslimin memperoleh pelajaran agar jangan menyerang kehormatan orang- orang mukmin lelaki dan wanita.

Nama Aisyah memang selalu terjaga oleh Rasulullah dan Al-Quran sampai akhir hayatnya dalam usia 66 tahun. Namanya selalu tercatat dalam sejarah Islam baik dalam ilmu politik, tasyri' dan adab. Banyak hadis- hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aisyah dan menjadi pegangan umat Islam sampai sekarang.

Tentang peranan ilmu, dia mengatakan, "Sebaik- baik wanita adalah wnaita Ansar. Mereka tidak malu- malu untuk belajar agama". Dan Aisyah itulah pelopornya.

Dusta


Lidah hendaklah dipelihara daripada berbohong, berdusta, bercakap tidak benar, samada bercakap secara bersungguh- sungguh atau pun secara bergurau- gurau, kerana perbuatan berdusta secara bergurau- gurau itu boleh membawa kepada perbuatan berdusta secara bersungguh- sungguh.

Rasulullah s.a.w ada bersabda, yang bermaksud: “Takutlah kamu akan berdusta kerana ia adalah pangkal maksiat, dan kedua- duanya itu (pembohong dan membuat maksiat) di dalam api neraka” dan sabda baginda lagi, yang bermaksud: “ Bahawasanya dusta itu adalah pintu daripada beberapa pintu munafik”.

Berdusta itu dilarang, tetapi ada kalanya ia menjadi wajib dan adakalanya ia menjadi harus (mubah).

Dusta menjadi wajib termasuklah empat keadaan berikut:-

1. Berdusta kerana hendak melepaskan orang yang hendak dibunuh oleh orang lain secara zalim.

2. Berdusta kerana hendak menyelamatkan harta orang yang diamanahkan kepadanya daripada orang yang zalim.

3. Berdusta kerana hendak memelihara harta orang islam daripada hendak dizalimi oleh orang.

4. Berdusta kerana hendak memelihara akan isteri orang islam dariapda hendak dizalimi oleh orang.

Syarat- syarat maka berdusta itu menjadi wajib di dalam keadaan- keadaan tersebut iaitu hendaklah perkara- perkara yang dinyatakan itu tidak terlepas, atau tidak selamat, atau tidak terpelihara kecuali dengan jalan berdusta. Maka dalam keadaan sedemikian adalah diwajibkan berdusta.

Dusta menjadi harus (mubah) termasuklah dua keadaan berikut:-

1. Berdusta kerana hendak mendamaikan orang yang berkelahi dan berbantah- bantah.

2. Berdusta kerana hendak mendamaikan antara dua orang isteri, dan dalam keadaan yang seumpamanya.

Pendapat Imam Al Ghazali dalam perkara dusta:-

1. Tiap- tiap maksud yang baik yang boleh dicapai dengan jalan bercakap benar dan boleh juga dicapai dengan jalan berdusta, maka berdusta dalam perkara sedemikian adalah haram.

2. Jika maksud yang baik itu hanya boleh dicapai dengan jalan berdusta, dan ia tidak boleh dicapai dengan bercakap benar, maka berdusta dalam perkara sedemikian adalah harus dengan syarat maksud itu adalah maksud yang harus.

3. Jika maksud yang baik itu hanya boleh dicapai dengan jalan berdusta dan ia tidak boleh dicapai dengan jalan bercakap benar maka berdusta dalam perkara sedemikian adalah wajib dengan syarat maksud itu adalah maksud yang wajib.

4. Jika bercakap benar boleh menumpahkan darah orang islam yang telah bersembunyi dariapda orang yang zalim, maka berdusta dalam perkara sedemikian adalah wajib.

5. Manakala tidak dapat disempurnakan maksud berperang sabil atau berperang dengan orang ‘bughat' atau mendamaikan orang yang berkelahi atau melembutkan hati orang yang ditimpa mudharat melainkan dengan jalan berdusta, maka berdusta dalam perkara sedemikiam adalah harus.

6. Walau bagaimanapun, hendaklah dipelihara diri daripada berdusta dan mengelakkan diri daripada melakukannya seberapa yang dapat.



Peranan Lidah


Lidah

Peranan lidah terkandunglah di dalamnya perkara- perkara berikut:-

1) Supaya dapat membanyakkan zikir kepada Allah dan membaca Al Quran
2) Supaya dapat memberi petunjuk kepada manusia ke jalan Allah s.w.t dan ke akhirat.
3) Supaya dapat menyeru manusia ke jalan kebajikan atau melarangnya daripada berbuat kejahatan.
4) Supaya dapat menyatakan segala hajat yang terbuku di dalam hati.

Lidah hendaklah dipelihara daripada maksiat dalam perkara seperti berikut:-

1) Dipelihara daripada berdusta.
2) Dipelihara daripada mungkir janji.
3) Dipelihara daripada mengumpat.
4) Dipelihara daripada mencela perktaan orang.
5) Dipelihara daripada memuji diri sendiri.
6) Dipelihara daripada melaknat akan sesuatu daripada makhluk Allah.
7) Dipelihara daripada mendoakan seseorang dengan doa kejahatan.
8) Dipelihara daripada bergurau- gurau.


Peranan Mata dan Telinga


Mata

Peranan mata terkandunglah di dalamnya perkara- perkara berikut:-

1) Supaya dapat melihat sesuatu ditempat yang terang atau yang gelap.
2) Supaya dapat menyampaikan hajat.
3) Supaya dapat meihat segala yang indah- indah dan ajaib- ajaib dan dijadikan dalil pada menunjukkan wujudnya zat Allah s.w.t dan segala sifatnya.

Mata hendaklah dipelihara daripada maksiat dalam empat perkara:-

1) Dipelihara daripada melihat segala perkara yang haram, seperti melihat perempuan yang bukan mahram.
2) Dipelihara daripada melihat muda belia yang elok rupa parasnya dengan pandangan yang bershahwat (dengan pandangan yang berahi)
3) Dipelihara daripada melihat orang Islam dengan pandangan yang menghina.
4) Dipelihara daripada melihat segala perkara yang tercela (aib).


Telinga

Peranan telinga terkandunglah di dalamnya perkara- perkara berikut:-

1) Supaya dapat mendengar kalam Allah yakni Al Quran
2) Supaya dapat mendengar hadis Nabi Muhammad s.a,w
3) Supaya dapat mendengar ilmu pengetahuan yang boleh menyampaikan kepada makrifat Allah s.w.t dan takut (taqwa) kepadanya serta mengenal akan akhirat.

Telinga hendaklah dipelihara daripada maksiat dalam lima perkara iaitu:-

1) Dipelihara daripada mendengar segala perkara bidaah yang tercela yang bertentangan dengan syarak.
2) Dipelihara mendengar orang mengumpat.
3) Dipelihara daripada mendengar perkataan yang keji.
4) Dipelihara daripada mendengar perkataan yang batil lagi sia- sia.
5) Dipelihara daripada mendengar orang yang mengata- mengata akan kejahatan orang.

Jangan disangka bahawa dosa mengumpat itu hanya tertentu kepada orang yang mengumpat sahaja. Bahkan orang yang mendengar itu pun mendapat dosa seperti orang yang mengumpat itu, sebagaimana hadis Nabi Muhammad s.a.w yamg beemaksud: " Orang yang mendengar adalah sekutu kepada orang yang berkata dan ia adalah salah seorang daripada orang mengumpat".


Menjauhkan maksiat zahir


Maksiat ialah perbuatan yang melanggar perintah Allah. Perbuatan yang berdosa, perbuatan yang keji seperti berjudi, berzina, minum arak, mencuri dan sebagainya.

Maksiat zahir ialah perbuatan yang melanggar perintah Allah yang dilakukan oleh anggota tubuh badan yang zahir seperti tangan dan kaki.

Anggota tubuh badan yang zahir itu ialah tujuh perkara iaitu, mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki.

Anggota- anggota itu mempunyai peranan- peranan yang tertentu yang bertujuan untuk memuja dan memuji Allah s.w.t semata- mata, dan perkara itu akan diterangkan kemudian ketika menghuraikannya secara lanjut.

Menurut Al Imam Al Ghazali bahawasanya "ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya engkau melanggar perintah Allah iaitu melakukan maksiat dengan anggota tubuh badanmu, sednagkan anggota- anggota itu adalah nikmat dan kurnia daripada Allah s.w.t kepada engkau, dan merupakan amanah yang diletakkan kepadamu, maka jika engkau melakukan maksiat dengan menggunakan anggota- anggota itu seolah- olah engkau mendapatkan pertolongan daripada nikmat Allah untuk melakukan maksiat, maka perbuatan yang sedemikian itu adalah perbuatan kufur akan nikmat Allah, perbuatan yang sedemikian itu adalah perbuatan khianat, dan melakukan khianat terhadap amanah Allah yang diletakkan oleh Allah kepadamu itu adalah perbuatan maksiat".

Perbuatan kufur akan nikmat Allah itu adalah perbuatan yang tidak mengenang akan nikmat Allah dan perbuatan yang tidak bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang diberikannya kerana anggota- anggota itu dijadikan adalah untuk berbuat taat kepada Allah tetapi ia telah digunakan untuk bebuat maksiat dan menyalahi akan tujuan asal ia dijadikan.

Anggota- anggita zahir itu akan ditanya pada hari kiamat mengenai segala perbuatan yang dilakukannya, pada ketika itu tidak boleh berbohong dan tidak boleh berdusta kerana segala perbuatan itu akan nyata kelihatan, sebabnya ialah pada hari kiamat itu semua anggota- anggota itu akan memberitahu sendiri akan segala perbuatan yang dilakukannya.

Pada hari kiamat, ketika itu mulut tidak berkata- kata, sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Yaasin, ayat 65: "Pada hari itu (hari kiamat) kami tutup mulut mereka dan tangan mereka berkata- kata kepada kami, dan kaki mereka menjadi saksi, mengenai perbuatan yang telah mereka lakukan".


Pengertian beriman kepada Qadar Taqdir


Beriman kepada qadar taqdir ialah berusaha menjalankan segala undang-undang, peraturan dan hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah swt pada azali serta diputuskan hukum berjalannya apa yang diputuskan itu.

Allah swt telah pun memutus dan menetapkan baginya tiap-tiap satu natijah ada pendahuluannya, dan bagi tiap-tiap suatu musabab ada sebabnya, serta tiap-tiap satu tujuan ada jalan untuk mencapainya.

Dengan yang demikian, sesiapa yang menunggu berhasilnya sesuatu dengan tidak melalui sebab, pendahuluannya, dan jalan mencapainya yang ditetapkan dan ditentukan oleh Allah, bermakna ia kufur, tidak beriman kepada qadar taqdir dan qada' yang azali.

Dengan penjelasan yang tersebut, maka orang yang beriman kepada qadar taqdir dan qada' Tuhan, ialah orang yang rajin berusaha dan beramal mengikut undang-undang, peraturan dan hukum hakam Tuhan, dan giat mencari qadar taqdir yang menjayakan maksudnya.

Oleh itu, tidaklah patut seseorang berdalih dengan "soal qada' dan qadar" apabila ia cuai melaksanakan apa yang Tuhan jadikan sebab atau jalan mencapai sesuatu maksud, kerana qada' dan qadar itu tidak terdapat padanya selain daripada menentukan hukum dan peraturan serta mengikat sebab dengan musabab yang menjadi asas bagi semua kejadian, asas bagi semua syariat, serta asas bagi hisab dan balasan.

Kalau lah benar dalihnya orang yang beriman, nescaya sia-sialah Tuhan mengutuskan rasul-rasulNya dan menurunkan kitab-kitabNya, yang mengajak manusia kepada mematuhi ajaran agama Allah dan menjalankan segala usaha yang menyebabkan kebaikan dan kebahagiaan manusia.

Memang benar! "Untung nasib" yang akan didapati oleh seseorang dengan pilihan dan ikhtiarnya sendiri samada baik atau buruk, iman atau kufur, sedia diketahui oleh Allah pada azali; tetapi pengetahuan Allah yang yang demikian tidak menjadikan orang itu dipaksa melakukan apa yang diketahui oleh Allah 'Azzawajalla, kerana ilmu Allah ialah satu sifat yang dengannya segala sesuatu terdedah kepadanya semenjak dari azali lagi, iaitu segala sesuatu yang akan berlaku, meliputi hakikatnya, kemahuannya, dan apa yang dipilih oleh manusia dengan iradat yang dikurniakan Tuhan kepadanya, juga apa yang dilakukan oleh manusia dengan ikhtiarnya akan apa yang dipilihnya itu.

Misalnya, apabila Allah mengetahui dengan ilmuNya bahawa si polan akan memilih perbuatan zina dan akan melakukan zina itu dengan ikhtiarnya, maka apa yang dipilih dan dilakukan oleh si polan itu adalah perkara yang tepat dengan apa yang diketahui oleh Allah swt pada azali, tetapi ilmu Allah itu tidak mengikat si polan supaya memilih dan melakukan perbuatan zina yang tersebut.

Hakikat ini sayugia difahami dengan sebaik-baiknya supaya tidak timbul sebarang kemusykilan mengenai keadilan Tuhan.

Ini berdasarkan bahawa manusia dijadikan Tuhan berkuasa melakukan perkara yang baik dan menjauhkan diri dari melakukan perkara yang buruk, juga berdasarkan bahawa manusia dijadikan Tuhan bebas memilih sesuatu bagi dirinya.

Jelas, tiap-tiap seorang mempunyai iradat (kemahuan memilih), dan kudrat (kuasa melakukan), yang Allah tidak menjadikan keduanya pada diri manusia dengan sia-sia sahaja, bahkan Tuhan menjadikan keduanya tempat bergantungan tanggungjawab menyempurnakan perintahNya, juga asas yang membolehkan perbuatan seseorang itu disandarkan kepadaNya.

Dengan yang demikian, maka terserahlah kepada manusia memilih dan melakukan apa yang dipilihnya itu samada baik atau buruk, dan Tuhan hanya melaksanakan apa sahaja qadar taqdir yang dipilih oleh seseorang.




Apakah Umat Islam Menyembah Ka'bah?


Pada suatu malam, Roy (bukan Islam) berdebat dengan seorang Ustaz di dalam rumahnya.

Roy : Mengapa orang Islam menyembah kotak hitam ?

Ustaz : Salah tuh ! Umat Islam bukan menyembah kotak hitam, tapi menyembah Allah.

Roy : Bukankah orang Islam solat mengadap kaabah, sebuah kotak yang berwarna hitam ? Apakah Allah itu ada di dalam kaabah ?

Belum sempat Ustaz itu menjawab, handphone Roy pun berbunyi.

Roy menjawab panggilan telefonnya, sementara ustaz itu pula menunggu dengan sabar.

Setelah Roy selesai menjawab panggilan di handphonenya, dia memandang ustaz itu. Ustaz itu pun tersenyum.

Roy : Mengapa ustaz tersenyum ? Apakah jawapan dari pertanyaan saya tadi ?

Ustaz: Hmm.. perlukah saya menjawab pertanyaan itu ?

Roy : Ah, pasti ustaz tak mampu menjawab bukan ? [tertawa]

Ustaz : Bukan itu maksud saya.
Sebenarnya saya cuba gunakan teori yang kamu gunakan sebagai menjawab pertanyaan yang kamu ajukan pada saya. Saya melihat kamu tidak menyedarinya..

Roy : Apa maksud ustaz ?

Ustaz : Tadi, saya melihat kamu bercakap sendiri, ketawa, dan tersenyum sendiri. Dan kamu mencium handphone kamu itu sambil berkata "I love u mom"...

Roy : Saya bukan bercakap sendiri. Saya bercakap dengan isteri saya. Dia telah menelefon saya tadi.

Ustaz : Mana isteri kamu ? Saya tak nampak..

Roy : isteri saya tidak ada di sini.  Saya bercakap menggunakan handphone. Apa masalahnya ? [nada marah]

Ustadz: Boleh saya lihat handphone kamu ?
Roy mengulurkan handphonenya kepada ustaz itu. Ustaz itu menerimanya, lalu dengan tidak sengaja ia terjatuh, dan terdapat calar pada casing handphone tersebut. Kemudian ustaz itu bertanya bagaimana keadaan isterinya, adakah terluka juga, disebabkan handphone itu terjatuh.
" saya minta maaf jikalau isteri kamu terluka disebabkan handphone ini terjatuh, adakah isteri kamu masih sihat di dalam handphone ini ?"

Roy : Hah, handphone saya yang jatuh, tiada kaitan dengan isteri saya ? Mengapa ustaz bodoh sangat? Teknologi sudah maju. Kita mampu bercakap dari jarak jauh menggunakan telefon. Kenapa ustaz bercakap tidak
menggunakan fikiran ? [marahnya menyala...! ]

Ustaz : Alhamdulillah [senyum]. Keadaan ini samalah juga dengan Allah SWT. Umat Islam solat mengadap kaabah bukan beerti umat Islam menyembah kaabah.Tetapi umat Islam menunaikan solat di atas arahan Allah. Allah mengarahkan umat Islam untuk sembahyang menghadap kaabah juga bukan beerti Allah ada di dalam kaabah. Begitulah juga dengan diri kamu dan isteri kamu. Isteri kamu menelefon dengan menggunakan handphone, ini bukan beerti isteri kamu ada di dalam handphone itu. Tetapi syarat telekomunikasi telah menetapkan peraturan, bahawa jika ingin bercakap melalui telefon mestilah menekan nombor yang tepat, barulah talian akan bersambung dan kamu boleh bercakap melalu handphone walaupun isteri kamu tidak ada di dalamnya.

Roy : [melopong]

Sakaratul Maut


Sakaratul maut adalah satu keadaan yang tetap akan ditempuh oleh setiap orang apabila sampai ajalnya yang telah ditentukan, dengan berbagai- bagai cara yang berat sukar atau yang mudah dan senang.

Walau pun demikian, keadaan "sakaratul maut" tidaklah menandakan baik atau tidaknya nasib seseorang selepas matinya, kerana dari maksud hadis- hadis yang tersebut dapat difaham bahawa susah sukar yang terdapat pada "sakaratul maut" itu memang ada hikmatnya, iaitu boleh jadi Allah S.w.t hendak membersihkan kesalahan- kesalahan yang telah dilakukan oleh seseorang itu atau hendak menggandakan pahala dan meninggikan darjatnya.

Oleh itu tidaklah benar anggapan sesetengah orang yang menyangka bahawa beratnya "Sakaratul maut" itu menandakan kemurkaan Tuhan, dan ringannya pula menandakan keredhaan Tuhan.
Sebab itulah saidatina Aisyah R.a, berkata:" Aku tidak merasa iri hati kepada seseorang dengan sebab senang keadaannya ketika ia mengalami sakaratulmaut setelah aku melihat Rasulullah S.a.w sendiri mengalami sakaratul maut dengan keadaan yang agak sukar."

Saidina Umar Bin Al-Khatab R.a, pula pernah berkata:" Apabila seseorang mukmin masih menanggung sedikit dari dosa- dosa yang tidak dihapuskan oleh amalan baiknya, Allah akan menjadikannya menderita susah sukar sakaratul maut supaya ia dengan penderitaan yang demikian dapat mencapai tingkatan martabat dalam syurga; ada pun orang yang kafir pula, apabila ia melakukan sesuatu perkara yang baik di dunia, maka Tuhan memudahkan dia menghadapi sakaratul maut, supaya dengan itu dapat ia menerima balasan kebaikannya itu di dunia, kemudian ia akan terus ke neraka pada hari akhirat kelak."

Menurut huraian alim ulama: Tuhan menjadikan nabi- nabi dan wali- wali-Nya menderita susah sukar "sakaratul maut" hanya untuk menambahkan ketinggian darjat mereka, adapun orang- orang Islam yang dikenakan mereka mengalami susah sukar "sakaratul maut" adalah menjadi "kifarah"  (penghapus dosa), atau balasan siksa terhadap kesalahan- kesalahan yang mereka lakukan. Dalam pada itu, tiap- tiap seseorang dalam menghadapi "Sakaratul maut" dikehendaki mengingati Allah dengan bersungguh- sungguh serta berdoa semoga Allah S.w.t memberi pertolongan kepadanya semasa ia mengalami penderitaan itu. 


Perasaan takut kepada kemurkaan Allah dan perasaan mengharapkan rahmat Allah apabila berada dalam hati seseorang, terutama semasa orang itu dalam keadaan hampir menemui ajalnya, tetap mendapat penghargaan yang tinggi dari Allah S.w.t.

Meskipun demikian, tiap- tiap seseorang dalam masa ia masih sihat dan bertenaga menjalankan tugasnya, tertuntut mengambil berat mengisi jiwanya dengan perasaan gerun gementar terhadap kemurkaan Allah, supaya ia tidak terdorong mencuaikan suruhan-Nya dan melanggar segala larangan-Nya.


Sebaliknya semasa ia terlantar menghadapi "Sakaratul Maut", hendaklah ia menumpukan harapan-Nya kepada Allah yang melimpah- limpah rahmat-Nya.



 

Kolam Al-Kautsar Rasulullah


Di antara perkara- perkara akhirat yang wajib diketahui serta dipercayai dan diakui benarnya ialah ada di sana kolam air bagi tiap- tiap seorang Nabi untuk diminum oleh umat masing- masing.

Bagi Nabi Muhammad S.a.w disediakan sebuah kolam yang airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada air madu, piala- pialanya banyak tidak terhitung.

Nabi Muhammad S.a.w akan berada dekat kolam itu pada hari kiamat menunggu sesiapa di antara umatnya S.a.w yang datang minum dari airnya.

Sesiapa yang dapat minum dari air kolam itu tidak akan merasai haus dahaga selamanya, ada pun minuman- minuman yang ada dalam syurga maka disediakan hanya untuk di minum buat berlazat- lazat dan bersukaria sahaja, kerana: " Sesungguhnya engkau wahai penduduk syurga tidak akan merasai haus dahaga di dalamnya". (Surah Taha: 119)

Air kolam itu tidak dapat di minum oleh sesiapa yang menukar bawaan hidupnya yang baik kepada yang tidak baik selepas Nabi Muhammad S.a.w menyatakan apa yang baik dan apa yang sebaliknya, bahkan orang yang tersebut disekat dari sampainya ke kolam itu dan dijauhkan daripadanya.

Dari Aisyah R.a, Rasulullah S.a.w bersabda: (pada hari kiamat) Aku akan berada di kolamku (Al-Kautsar) ada orang yang disekat-sekat sampai kepadaku. Lalu aku berkata: " Jauhlah, jauhlah (dari rahmat Allah), sesiapa yang mengubah ajaran- ajaranku sesudah aku menerangkannya'". (HR Muslim)

Kolam itu namanya "Kolam Al-Kautsar", kerana airnya adalah dari air sebatang sungai di syurga yang bernama "Al-Kautsar" yang dikurniakan Tuhan khas kepada Nabi Muhammad S.a.w; sungai itulah yang memenuhi kolam yang tersebut melalui dua saluran emas dan perak. Bau tanah dasar sungai itu lebih harum daripada kasturi.

Soal jawab: Puasa


Soal: Apa yang dimaksudkan dengan puasa itu?
Jawab: Puasa ialah menahan diri daripada makan minum dan perkara- perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar sadiq hingga masuk matahari dengan niat dan syarat- syarat yang tertentu.

Soal: Apa hukumnya puasa itu?
Jawab: Puasa itu hukumnya adalah seperti berikut:
(a) Wajib, iaitu seperti puasa bulan Ramadhan, puasa nazar, dan puasa kaffarah.

(b) Sunat, iaitu seperti:
(i) Puasa pada tiap- tiap hari Isnin dan Khamis.
(ii) Puasa Enam iaitu puasa enam hari dalam bulan Syawal.
(iii) Puasa pada sembilan haribulan Zulhijjah bagi orang yang bukan mengerjakan haji.
(iv) Puasa berselang- selang hari kerana mengikut amalan Nabi Allah Daud.
(v) Hari Asyura (sepuluh Muharram)
(vi) Ayyaamul-Baidh iaitu hari-hari 13, 14 dan 15 pada tiap- tiap bulan.
(vii) Ayaamus-Sud iaitu hari- hari 28, 29 dan 30 pada tiap- tiap bulan.

(c) Makruh, iaitu seperti puasa pada hari Jumaat yang berasingan dengan tidak mempunyai apa- apa tujuan, puasa berturut- turut dengan tidak makan sahur dan puasa berturut- turut dengan tidak makan sahur dan puasa sepanjang tahun.

(d) Haram, iaitu seperti:
(i) Puasa pada Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji.
(ii) Puasa pada hari- hari Tasyriq, iaitu 11, 12 dan 13 haribulan Zulhijjah.
(iii) Puasa pada hari Syak iaitu 30 Sya'ban.

(e) Harus, iaitu seperti puasa pada bila- bila masa sahaja kecuali pada hari- hari yang diharamkan dan pada hari-hari makruh berpuasa.

Soal: Apa hukum puasa Ramadhan?
Jawab: Hukumnya fardhu 'ain ke atas diri tiap- tiap orang Islam yang cukup syarat- syaratnya.


• PENENTUAN AWAL BULAN RAMADHAN

Soal: Bagaimana caranya menentukan awal bulan Ramadhan itu bagi memulai ibadat puasa?
Jawab: Awal bulan Ramadhan bagi memulai wajib menunaikan ibadat puasa itu ditentukan dengan salah satu dari cara- cara berikut:
(a) Melihat anak bulan Ramadhan setelah terbenam matahari pada 29 haribulan Sya'ban, maka wajib berpuasa ke atas orang yang melihat anak bulan itu.

(b) Sabit anak bulan Ramadhan telah dilihat, dengan ketetapan Hakim Syar'i (Pihak yang berkuasa Agama) berdasarkan keterangan saksi lelaki yang adil, walaupun seorang bahawa ia melihat anak bulan Ramadhan dan Hakim Syar'i itu berkata bahawa telah sabit pada saya anak bulan Ramadhan, atau katanya saya hukumkan bahawa anak bulan Ramadhan adalah sabit. Maka wajib puasa ke atas orang yang tidak melihat anak bulan itu.

(c) Adanya alamat yang menandakan bahawa bulan Ramadhan telah masuk menurut adat kebiasaan yang berlaku bagi sesuatu masyarakat, seperti tembakan meriam, bunyi beduk, lampu cucul yang terpasang di menara masjid dan lain- lain lagi, mka wajib berpuasa bagi orang yang melihat alamat itu.

(d) Mendapat perkhabaran dari seorang lelaki yang adil bahawa ia melihat anak bulan Ramadhan, dan penerima perkhabaran itu percaya akan kebenarannya. Orang yang adil itu hendaklah beragama Islam dan taat mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan larangannya. Maka wajib berpuasa ke atas orang yang menerima perkhabaran yang dipercayainya itu.

(e) Mencukupkan kiraan bulan Sya'ban 30 hari. Apabila bulan Sya'ban cukup 30 hari maka wajib ke atas orang Islam berpuasa Ramadhan pada hari berikutnya.

• PENENTUAN PUASA BAGI NEGERI LAIN

Soal: Adakah wajib berpuasa bagi penduduk sebuah negeri jika anak bulan Ramadhan itu sabit pada negeri yang lain?
Jawab: Jika sabit anak bulan Ramadhan pada satu negeri maka wajib pula berpuasa bagi penduduk negeri yang hampir dan satu matlak dengan negeri yang sabit anak bulan Ramadhan itu. Tetapi jika negeri yang hampir dan satu matlak itu mempunyai Hakim Syar'i (Pihak Yang Berkuasa Agama) sendiri maka ketetapan dan perintahnya wajib ditaati, ileh itu jika ia nenetapkan bahawa anak bulan tidak sabit di negerinya maka wajib penduduk negeri itu mengikut dan taat kepada ketetapan itu, walaupun anak bulan Ramadhan itu sabit di negeri lain yang hampir dan satu matlak dengannya.

Soal: Apa yang dimaksudkan dengan satu matlak itu?
Jawab: Maksud satu matlak ialah jika bulan itu dapat dilihat satu negeri maka negeri yang hampir dengannya itupun dapat melihatnya pada ghalibnya.

Soal: Apa yang dimaksudkan dengan bersalah- salahan matlak (tidak sama matlaknya)?
Jawab: Maksud bersalah- salahan matlak (tidak sama matlaknya) di antara dua negeri itu ialah sekira- kira jikalau bulan dapat dilihat pada salah satu negeri maka bulan itu tidak dapat dilihat pada negeri yang lain pada ghalibnya.



Soal jawab: Zakat


Perkara- perkara yang wajib dizakat

Soal: Apa yang dimaksudkan dengan zakat itu?
Jawab: Zakat ialah nama bagi harta yang tertentu, diambil daripada harta yang tertentu, menurut peraturan- peraturan yang tertentu dan diberikan kepada orang- orang yang berhak menerimanya.

Soal: Apa hukumnya mengeluarkan zakat?
Jawab: Hukum mengeluarkan zakat adalah wajib bagi tiap- tiap orang Islam yang mempunyai harta mengikut syarat- syaratnya.

Soal: Terbahagi kepada berapa zakat itu?
Jawab: Zakat terbahagi kepada dua, iaitu:
(a) Zakat fitrah.
(b) Zakat harta.

Soal: Apa dia perkara- perkara (harta) yang wajib dizakat itu?
Jawab: Harta yang wajib dizakat itu lima perkara, iaitu:
(a) Binatang ternak.
(b) Biji- bijian dan buah- buahan.
(c) Emas dan perak (termasuk matawang).
(d) Harta galian dan rikaz.
(e) Harta perniagaan.

Zakat Fitrah
Soal: Apa yang dimaksudkan dengan zakat fitrah?
Jawab: Zakat fitrah ialah makanan yang wajib dikeluarkan pada Hariraya Puasa oleh tiap- tiap orang Islam yang mempunyai kelebihan makanan bagi dirinya dan orang- orang yang di bawah tanggungannya untuk siang dan malam hariraya itu.

Soal: Apa dia syarat- syarat yang mewajibkan zakat fitrah itu?
Jawab: Syarat- syarat yang mewajibkan zakat fitrah itu tiga perkara, iaitu:
(a) Islam.
(b) Mempunyai harta lebih daripada nafkah dirinya dan nafkah orang yang di bawah tanggungannya pada hariraya dan malamnya, dan lebih daripada perbelanjaan pakaian yang layak bagi dirinya dan tanggungannya itu.
(c) Hidup pada akhir bulan Ramadhan dan pada permulaan bulan Syawal.

Soal: Adakah orang kafir wajib mengeluarkan zakat fitrah?
Jawab: Tidak wajib.

Soal: Adakah orang yang mempunyai harta, tetapi hutangnya lebih banyak daripada hartanya itu, wajib mengeluarkan zakat fitrah?
Jawab: Wajib menegluarkan zakat fitrah.

Soal: Adakah wajib dikeluarkan zakat fitrah bagi orang yang mati sebelum jatuh matahari pada akhir bulan Ramadhan?
Jawab: Tidak wajib dikeluarkan zakat fitrahnya kerana ia tidak hidup pada permulaan bulan Syawal.

Soal: Adakah wajib dikeluarkan zakat fitrah bagi orang yang mati sesudah jatuh matahari pada akhir bulan Ramadhan?
Jawab: Wajib dikeluarkan zakat fitrahnya, kerana ia hidup pada akhir bulan Ramadhan dan pada permulaan bulan Syawal.

Soal: Adakah wajib dikeluarkan zakat fitrah bagi kanak- kanak yang dilahirkan sebelum jatuh matahari pada akhir bulan Ramadhan?
Jawab: Wajib dikeluarkan zakat fitrahnya, kerana ia hidup pada akhir bulan Ramadhan dan pada permulaan bulan Syawal.

Soal: Adakah wajib dikeluarkan zakat fitrah bagi kanak- kanak yang dilahirkan sesudah jatuh matahari akhir bulan Ramadhan?
Jawab: Tidak wajib dikeluarkan zakat fitrahnya kerana ia belum hidup pada akhir bulan Ramadhan.

Soal: Adakah zakat fitrah itu hanya wajib kepada orang yang aqil baligh?
Jawab: Zakat fitrah wajib ke atas tiap- tiap diri seorang Islam, samada ia lelaki atau perempuan, samada ia kanak- kanak ataupun orang- orang tua.
Waktu mengeluarkan zakat fitrah

Soal: Bila waktu mengeluarkan zakat fitrah itu?
Jawab: Waktu mengeluarkan zakat fitrah itu terbahagi kepada lima, iaitu:
(a) Waktu wajib: Sesudah jatuh matahari akhir bulan Ramadhan.
(b) Waktu sunat: Selepas sembahyang Subuh hingga imam mendirikan sembahyang hari raya.
(c) Waktu harus: Dari awal bulan Ramadhan.
(d) Waktu makruh:  Selepas sembahyang hari raya hingga jatuh matahari hari raya.
(e) Waktu haram: Sesudah jatuh matahari hariraya.

Benda dan kadar zakat fitrah
Soal: Apa dia benda yang wajib dikeluarkan untuk zakat fitrah?
Jawab: Benda yang wajib dikeluarkan untuk zakat fitrah itu ialah makanan asasi yang mengenyangkan bagi penduduk sesudah negeri, seperti beras di Alam Melayu, gandum di Eropah, buah kurma dan gandum di negeri Arab.

Soal: Apakah sifat- sifat yang dikehendaki pada benda yang wajib yang dijadikan zakat fitrah itu?
Jawab: Sifat- sifat yang dikehendaki ialah seperti berikut:
(a) Makanan asasi yang ghalib dimakan oleh penduduk sesuatu negeri.
(b) Makanan itu mengenyangkan.
(c) Sejahtera daripada bercampur dengan benda- benda lain seperti tanah dan hampa.
(d) Sejahtera daripada aib, seperti berulat dan basah dan sudah lama sehingga berubah rasanya atau warnanya atau baunya.

Soal: Apa hukumnya jika bagi sesebuah negeri itu ada beberapa makanan yang mengenyangkan, tetapi tidak ghalib dimakan oleh penduduknya, bahkan sebahagian memakan pada ghalibnya sesuatu makanan, dan sebahagian yang lain memakan ada ghalibnya sesuatu jenis makanan yang lain?
Jawab: Terserahlah kepada yang akan mengeluarkan zakat itu memilih mana satu yang ia kehendaki untuk dijadikannya zakat fitrah, dan yang afdhalnya dipilihnya jenis makanan yang paling baik dan mulia pada pandangan masyarakat negeri itu.

Soal: Apa hukumnya jika bagi sesebuah negeri itu tidak mempunyai makanan yang mengenyangkan untuk dijadikan zakat fitrah?
Jawab: Wajib dikeluarkan jenis makanan yang mengenyangkan daripada makanan negeri yang hampir kepadanya.

Soal: Adakah sagu boleh dijadikan zakat fitrah?
Jawab: Tidak, kerana ia bukan jenis makanan mengenyangkan yang ghalib dimakan oleh penduduk negeri ini.

Soal: Apa hukumnya jika beras diganti dengan gandum untuk dijadikan zakat fitrah?
Jawab: Adalah memadai dikeluarkan jenis makanan yang terlebih tinggi mutunya dari segi mengenyangkan sebagai ganti kepada jenis makanan yang kurang mutunya, tetapi cara sebaliknya tidaklah memadai. Jika penduduk sebuah negeri pada ghalibnya makan beras maka memadai diganti dengan gandum jika gandum itu menjadi makanan ghalib juga di negeri itu, kerana gandum terlebih tinggi daripada beras dari segi mengenyangkan , tetapi adalah tidak memadai jika gandum diganti dengan beras.

Soal: Haruskah zakat fitrah itu dikeluarkan menurut nilaian harga makanan tersebut dengan mata wang?
Jawab: Menurut mazhab Syafi'i bahawa zakat fitrah itu dikeluarkan daripada makanan yang asasi yang boleh mengenyangkan, tetapi menurut mazhab Hanafi bahawa zakat fitrah itu boleh dikeluarnya menurut nilaian harga makanan tersebut dengan matawang. Maka sudah menjadi amalan di negeri kita ini bahawa zakat fitrah dikeluarkan dalam bentuk beras, tetapi tidaklah ditegah jika seorang itu mahu mengeluarkan zakat fitrah dengan matawang menurut nilaian harga beras tersebut dengan syarat orang itu bertaklid pada mazhab Hanafi dan kedua- dua cara itu adalah sah di di sisi syara'.

Soal: Berapakah kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan itu?
Jawab: Kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan bagi diri tiap- tiap seorang ialah satu gantang Baghdad iaitu empat kali, dua apak yang sederhana penuh dengan beras, bersamaan dengan tiga kati dua belas tahil (3 kati 12 tahil) atau 2 7/10 kg, atau 3 1/2 liter.

Soal: Apakah hukumnya jika seorang itu tidak mempunyai satu gantang beras, bahkan hanya ada padanya setengah gantang, wajibkah ia mengeluarkan fitrah?
Jawab: Wajib ia mengeluarkan zakat fitrah seberapa banyak yang terdaya olehnya, umpamanya setengah gantang atau kurang daripadanya, kerana memelihara akan perkara yang wajib ke atasnya walaupun dengan kadar yang sedapat- dapatnya sahaja.

Soal: Apa hukumnya, jika seorang itu hanya mempunyai setengah gantang gandum dan setengah gantang beras, haruskah kedua- duanya disatukan untuk dijadikan zakat fitrah?
Jawab: Tidak harus kedua- duanya disatukan bahkan ia keluarkan satu jenis sahaja.



Uwais Al-Qarni


"Terkenal di langit..tidak terkenal di bumi"

Suatu masa Rasulullah S.a.w memberitahu kepada Sayidina Umar dan Sayidina Ali R.a tentang rahsia yang harus disimpan baik- baik oleh keduanya. "Hai Umar, hai Ali, apabila nanti kamu bertemu dengan Uwais Al-Qarni, mintalah kepadanya supaya ia meminta ampunkan kamu berdua kepada Allah, kerana ia orang yang makbul doanya."

Kemudian Nabi S.a.w telah mengatakan kepada keduanya pula, bahawa Uwais Al-Qarni itu mempunyai sahubah (merah atau perang rambutnya). Jauh jarak antara kedua bahunya. Sederhana tingginya. Ia memukul- mukulkan dagunya ke dadanya. Tangan kanannya diletakkannya di atas tangan kirinya. Senantiasa membaca Al-Quran. Mempunyai dua helai kain buruk dari bulu. Ia tidak terkenal orang di muka bumi ini, tetapi terkenal di langit. Di bawah bahunya yang kiri terdapat suatu cahaya putih.

Demikianlah yang terjadi setiap tahun apabila musim haji telah masuk. Beberapa tahun setelah Rasulullah wafat Umar dan Ali mempunyai kesibukan luar biasa. Kedua sahabat besar ini sering terlibat di dalam urusan- urusan jemaah- jemaah yang datang mengerjakan haji ke Mekah terutama sekali bagi jemaah- jemaah haji yang datang dari Yaman. Malah menyebabkan sahabat- sahabat lain hairan. Tiada seorang pun yang mengerti apa sebabnya terjadi sedemikian hinggalah  sepuluh tahun lamanya Umar dan Ali mencari Uwais Al- Qarni pada setiap ada jemaah haji datang dari Yaman.

Sejak kecilnya sampai hari itu Uwais tetap hidup dari dua macam yang hitam iaitu air mentah dan tamar. Ia tidak pernah memakan makanan yang dimasak oleh api. Ia sama sekali tidak mengenal perhiasan dunia atau makanan yang lazat- lazat, walaupun yang halal dan baik. Pekerjaannya hanya beribadat dan mendekatkan dirinya kepada Tuhan. Apabila Uwais berdoa, terbukalah segala pintu langit menerima doanya untuk terus berhadap kepada Tuhan yang Maha Esa. Tidak ada apa pun yang menghalangi doanya naik terus sampai ke Sidratul Muntaha dan keliling Firdaus. Itulah Uwais yang dikenal penduduk langit, tetapi tidak dikenal di bumi. Malaikat- malaikat pun turut meminta ampunkan Uwais kepada Allah S.w.t. Di sekelilingnya penuh dengan cahaya dari nur. Cahaya itu naik dari tubuhnya pada waktu ruku' dan sujud kemudian terus naik ke langit.

Demikianlah setelah sepuluh tahun berlalu, suatu hari ada seseorang datang kepada Umar mengatakan ada kafilah baru datang dari Yaman. Beliau pun bangun dan berlari- lari menuju kafilah itu.  Dari jauh beliau melihat Ali bin Abu Talib telah terdahulu sampai. Kelihatan kepada beliau, Ali telah berbicara dengan seseorang lelaki dari peserta kafilah itu. Orangnya berwajah putih, pakaian putih, dan kelihatan tanda- tanda kemuliaan atas dirinya. Dari jauh Umar mendengar Ali berkata kepadanya:"Apakah tidak ada seorang pun lagi yang tinggal dalam kafilah tuan ini, selain dari orang- orang yang telah tuan sebutkan kepada saya itu?"

Orang tersebut mengenal baik Ali. Ia hormat dan menjawab dengan hormat:" Tidak ada lagi,
wahai Anak Bapa Rasulullah S.a.w. Tetapi bersabarlah tuan sebentar kerana saya terlupa dalam kafilah kami ini ada seorang pemuda yang tidak terkenal, tidak tentu akalnya, pakaiannya koyak- mengoyak, ia mengembalakan unta kami, kami beri ia upah beberapa dirham saja. Saya rasa tuan pasti bukan mencarinya." Sebaik ia berkata demikian, Umar terus berkata dengan berteriak: "Dia asyhal (hitam matanya bercampur dengan warna biru), mempunyai rambut merah (perang), jauh jarak antara ke dua bahunya, tingginya sederhana, ia memukul- mukulkan dagunya ke dadanya..."

Maka, terkejutlah orang Yaman itu mendengar teriakan Umar yang turut bercampur bicara dari jauh dan dengan bersemangat penuh. Ia lebih hairan lagi, kerana sifat pemuda yang baru diingatnya itu 100% sama seperti yang dikatakan Umar.

Kata orang Yaman itu kepada Umar: "Tuan telah menyebutkan sifatnya dengan amat sempurna. Adakah tuan pernah bertemu dengannya?"

Umar tidak menjawab kerana itu rahsia dari Nabi S.a.w. Umar dan Ali begitu gembira sekali dengan penemuan yang telah dinantikan lebih sepuluh tahun itu. lalu keduanya menanyakan orang Arab itu di mana tempat Uwais berada. Mereka pun pergi mencarinya sambil berlumba- lumba hendak dahulu- mendahului.

Demikianlah, pada suatu tempat di Jabal Abu Qubais, di padang Sahara, keduanya melihat ada seorang lelaki mengembala unta. Keduanya memberi salam kepada pengembala itu. Setelah bertemu Umar dan Ali lalu bertanya kepadanya:"Tuan siapa?" Jawabnya:" Pengembala unta, orang cari upahan." "Bagus," kata Umar dan Ali, "akan tetapi yang kami perlukan ialah siapa nama tuan?" Ia menjawab:" Nama saya Abdullah." Umar dan Ali mengatakan: "Kami tahu semua penduduk langit dan bumi hamba Allah. Kami ingin tahu nama tuan yang sebenarnya." "Tuan-tuan berdua, apa maksud tuan- tuan kepada saya?" Umar dan Ali menjawab:" Begini Rasulullah S.a.w  pernah menceritakan perihal Uwais Al-Qarni kepada kami iaitu tanda- tandanya ada Asy-Syuhulah dan Asy-Syuhubah." Kemudian keduanya melihat kepada kedua bahu Uwais, benar ada cahaya di bawahnya. Lalu Umar dan Ali pun memberi salam dengan sebaiknya kepada Uwais yang masih belum memperkenalkan dirinya. Keduanya meminta kepada Uwais supaya ia mendoakan mereka dan meminta ampunkan dosa bagi mereka.

Uwais yang masih belum mengenal kedua sahabat besar itu menjawab:" Saya tidak pernah mengkhususkan doa saya kepada seseorang jua pun. Tetapi kepada sekalian orang Mukminin dan Mukminat." Setelah itu Uwais lalu bertanya kepada keduanya:" Tuan- tuan siapa?" Ali terus menjawab:"Ini Umar, Amirul Mukminin dan saya Ali." Mendengar yang demikian, Uwais terus berdiri lurus, kemudian memberi salam kepada keduanya. Katanya:"Assalamualaika Ya Amirul Mukminin dan Ya Ali Bin Abu Talib, semoga Allah membalas baik kepada tuan- tuan berdua berhubung jasa- jasa tuan- tuan kepada umat Islam ini."

Umar terus berkata kepada Uwais: "Hai Uwais, ajarilah saya."

Jawab Uwais:" Tuntutlah rahmat Allah ketika mentaatiNya, dan harapan tuan di celah- celah yang demikian."

Kemudian Ali terus berkata," Rasulullah S.a.w telah menceritakan hal engkau kepada kami hai Uwais. Nabi S.a.w tidak pernah melihat engkau, tetapi beliau mencintai engkau dan memberi sifat- sifat engkau kepada kami, kata beliau Uwais semulia- mulia Tabi'in. Bagaimana engkau menggambarkan Rasulullah S.a.w hai Uwais?"

Uwais menjawab:"Wahai Ali, tuan- tuan telah beroleh nikmat bersahabat dengan Rasulullah S.a.w. Tuan- tuan berbahagia melihat Nabi S.a.w. Tetapi saya tidak mendapati nikmat itu, tidak beroleh kurnia itu. Namun, saya melihat Rasulullah S.a.w di dalam basirah saya, lain dari yang tuan- tuan lihat beliau dengan mata kepala tuan sendiri. Saya mengambar-gambarkan Nabi S.a.w sebagai cahaya yang memancar memenuhi lapangan dan menjalar kepada segala yang ada ini. Saya melihat Rasul itu kepalanya yang mulia telah dekat benar dengan Arasy, sedang telapak kakinya di bawah bumi yang ke tujuh."

Mendengar yang demikian, menangislah Umar dan Ali tersedu- sedu dan cinta serta rindu akan Rasulullah S.a.w. Kemudian Umar berkata kepada kepadanya: "Bagaimana tuan fikir seorang lelaki jika pagi hari ia sangka ia tidak akan sampai ke petang hari dan jika hari telah petang ia sangka ia tidak akan sampai ke pagi hari."

"Bagaimana tuan sudah dapat sampai kepada kedudukan yang sedemikian tinggi, hai Uwais?" Jawabnya: "Saya hidup pada maqam takut kepada Tuhan, iaitu suatu maqam, yang mana seseorang itu telah sampai di sana, ia pun akan takut kepada Tuhan seperti ia berdosa membunuh semua manusia."

Lama juga mereka berbicara di padang Sahara dekat Jabal Abu Qubais itu. Kemudian Umar memberikan pakaian dan nafkah kepada Uwais. Ia menjawab:"Apa faedahnya buat saya pakaian dan belanja ini? Bukankah tuan lihat pakaian saya dan rida' saya terbuat dari bulu? Bila ia akan habis. Dari pekerjaan saya mengembala unta ini dengan upah empat dirham. Cuba tuan kira berapa lama saya menghabiskan yang empat dirham itu. Di depan saya dan di depan tuan- tuan ada banyak rintangan- rintangan yang sukar untuk dilalui, selain oleh orang-orang yang kurus dan lemah. Oleh sebab itu tuan Umar, tinggalkanlah dunia ini. Takutilah akan suatu hari di mana tidak berguna segala harta dan anak."  Lalu Umar memukulkan tongkat pendeknya itu ke tanah, sambil berteriak dengan kuat suaranya:"Kiranya Umar tidak dilahirkan ibunya."

Kemudian Uwais hendak pergi. Lalu tangannya dipegang oleh Ali. Katanya:" Kami datang hendak berbicara- bicara dengan tuan." Uwais menjawab: "Aneh sekali Ya tuan Ali. Saya sangka tidak ada seorang pun yang mengenal Tuhannnya akan merasa senang bersama- sama dengan yang lain selain Tuhannya." Kemudian ia lari dengan lajunya.

Demikianlah Uwais yang dikatakan Nabi riwayatnya kepada Umar dan Ali. Uwais tidak mahu lama- lama berbicara dengan Umar dan Ali orang yang sangat mulia pada sisi Allah dan Nabi, kerana ia tidak mahu lama berdekatan yang lain dari Allah S.w.t. Ia hanya senang dengan Allah. Ia hanya merasa ramai dengan Allah. Di seluruh alam ini yang dilihatnya hanya Allah. Ia akan menjauhkan diri dari segala perdaya dunia dan akan ber'uzlah dengan Tuhannya. Ia meninggalkan manusia di mana saja. Kalau ia hendak bekerja, maka dipilihnya pekerjaan- pekerjaan yang jauh dari manusia ramai, di mana ia dapat berkawan terus dengan Tuhannya, sambil membaca bacaan- bacaan memuja Tuhan dengan sehabis kesanggupannya. Tiba malam hari ia terus menerus melakukan sembahyang tahajjud di mihrabnya, hidup di dalam perasaan takut kepada Allah, merasa besar dosanya seperti membunuh seluruh manusia. Ia benci akan dunia dan segala perhiasannya. Malah dunia yang baik dalam pandangan orang ramai, tidak baik di dalam pandangannya. Ia melihat Allah di setiap waktu. Apa saja yang dilihatnya, pandangannya jatuh kepada Allah. Ia takut kepada Allah. Hatinya terus-menerus memuji Allah dengan tasbih, tahmid, tahlil dan selawat atas Nabi. Air matanya senantiasa meleleh di atas pipinya, teringat akan dosanya, teringat akan kesusahan masa depan. Pernah ia hendak melunjurkan kakinya kerana sengal tetapi ia malu kepada Tuhan, lalu ditariknya kembali kakinya. Seperti terdengar kepadanya suara mengatakan: "Manusia biasanya beradab di dalam majlis raja- raja, apatah lagi di dalam majlis Allah S.w.t." Dengan itu Uwais tidak berani melunjurkan kakinya di depan Tuhan yang Maha Kuasa.

Uwais mengajari manusia termasuk Umar, supaya takut kepada Allah pada taraf pertama, kemudian taqwa kepada Allah pada taraf ke dua. Apabila manusia takut akan Allah, maka manusia- manusia lainnya takut akan dirinya dan Tuhan akan meliputi ia dengan pakaian kebesaran dan kemuliaan. Oleh itu orang- orang yang takut dan taqwa kepada Allah, seperti Uwais ini, berjalan terus ke mana- mana dengan tenang, walaupun di tempat- tempat yang penuh bahaya dan sebagainya. Ia tidak takut akan apa- apa pun, ia tidak takut akan binatang buas, tidak takut akan bahaya, tidak takut akan susah dan sebagainya.

Uwais ini apabila hari telah petang , lalu berkata:" Malam ini malam ruku'," lalu ia sembahyang dan terus ruku' hingga ke pagi. Selama ruku' itu ia terus membaca tasbih tanpa hentinya hingga 12 jam. Pada lain malam, setelah mulai malam ia katakan pula:"Ini malam sujud," lalu ia sujud sampai kepada pagi hari. Kalau hari telah malam, semua apa yang ada di rumahnya di sedekahkannya, baik makanan maupun pakaian dan sebagainya, sambil ia berkata: " Ya Allah, siapa yang mati kelaparan, janganlah kerananya saya disiksa dan siapa yang mati kerana tidak mempunyai pakaian, maka janganlah saya Engkau siksa kerananya."

Uwais juga seorang yang suci lisannya. Tidak pernah ia mengucapkan perkataan yang keji sepanjang umurnya. Apabila ada orang yang menyerangnya dengan perkataan- perkataan yang rendah dan keji, ia berdiam diri dan tidak menjawab. Tangannya pula demikian, ia suci, ia tidak pernah mengambil apa- apa dari dalam dunia ini. Lapar dan air mata mengalir itu lah saja yang menjadi pengalamannya. Kemudian membiasakan diri bersabar atas segala apa juga. Ditambah dengan kesabarannya yang setiap hari meningkat di dalam beribadat, terutama dalam istighfar dan tasbih kepada Allah S.w.t.

Menurut pendapatnya, sahabat- sahabat Nabi S.a.w melebihi dirinya dalam soal bersahabat dengan Rasulullah S.a.w. Mereka beroleh kurnia melihat yang mulia itu dan beroleh kemuliaan kerana menolong dan membantu yang mulia itu dalam segala perjuangannya. Kerana itu, hatinya selalu hancur memikirkannya, kesal tidak mendapat seperti yang didapati sahabat- sahabat, ditambah dengan rindu dan cinta yang mendalam kepada yang mulia Rasulullah S.a.w. Oleh kerana itu, dengan air matanya ia menulis janji kepada Tuhan bahawa ia akan mengikat dirinya dengan Tuhan, akan mendekati Tuhan sehabis yang mungkin, diberikan Tuhan kepadanya dengan khalwat- khalwat yang besar dan mendapat tajalli yang setinggi- tingginya dari Tuhan.

Uwais mempunyai suara yang baik sekali, terutama sewaktu ia membaca ayat- ayat Al- Quran. Apabila ada orang mendengar ia membaca Al-Quran, orang itu akan bersumpah bahawa ada roh- roh yang tidak dapat dilihat datang mendengarkan bacaan- bacaan Uwais pada waktu itu dan mendengarkan bacaannya dengan sebaik- baiknya. Kemudian apabila waktu sembahyang telah masuk, tiba- tiba muka Uwais berubah menjadi pucat, hatinya menggeletar kerana takut, kerana rindu, dan kerana merasakan kebesaran Tuhan, di mana ia khuatir tidak dapat menghadapinya dengan sebaiknya. Kerana berdiri di depan Allah di dalam sembahyang, sama maksudnya dengan kita menempuh suatu ujian, jika kita selamat, maka menang dan kalau tidak penuh hati- hati akan menjadi celaka dan susah.

Uwais seorang pahlawan yang mujahid, seorang pemuda yang gagah dan pahlawan, apabila panggilan jihad telah tiba. Ia bergerak melompat, mara dan menghunus pedangnya dengan segala keberanian seperti singa yang garang kerana membela agama Allah. Pada hari Siffin ia turut berperang pada barisan Ali bin Abu Talib. Ia berpendapat golongan yang memberontak ke atas Ali adalah salah, wajib memerangi golongan yang memberontak kepada kebenaran itu sampai ia bertaubat dan kembali kepada jalan petunjuk.

Bukti- bukti bahawa Uwais Al- Qarni mengikuti di dalam perang Siffin di sebelah Ali bin Abu Talib ialah tersebut di dalam kitab "Tabaqaatul Asfiyaa" ' : bahawa telah mengkhabarkan kepada kami Abu Bakar dari Abdulllah bin Ahmad bin Hanbal dari Ali bin Hakim, katanya:" Telah mengkhabarkan akan kami Syuraik dari Yazid dari Abdul Rahman bin Abu Laila, katanya: Seorang penduduk Syam berseru- seru kepada pada hari Siffin: "Adakah ada pada kamu Uwais Al- Qarni?" Jawab kami:"Ada, dan apa maksud tuan daripadanya?". Jawabnya:"Saya telah mendengar Rasulullah S.a.w bersabda:" Uwais Al- Qarni adalah sebaik- baik tabi'in dengan ihsan'," Kemudian orang itu memutarkan kenderaannya lalu masuk ke dalam golongan Ali bin Abu Talib. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musanadnya, juga disebutkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya.

Demikianlah, Uwais mencabut pedangnya membela kebenaran Ali. Ia selamat di dalam perjuangan ini. Tetapi kemudian ia terus menghunus pedangnya waktu tentera Islam menyerang Rom. Di sana ia dipanggil kembali oleh Tuhan. Ia beroleh darjat sebagai Syahid, ia terkena sakit perut di tepi barisan pertempuran. Ia syahid di dalam sebuah khemah dari pasukan- pasukan Islam. Kemudian sahabat- sahabatnya menemui sebuah uncang yang amat ajaib disisinya. Mereka membukanya dan kelihatan dua helai kain yang indah sekali, tidak ada contohnya di dalam dunia ini baik tentang bahannya mahupun tentang tenunannya. Uwais sendiri tidak menenun pakaian. Tidak punyai wang dan tidak pernah berhubungan dengan orang lain. Malah pakaian itu tidak akan terdapat di pasaran mana pun juga, sebab tidak ada yang seperti itu. Rupanya, kedua helai kain itu tenunan malaikat, dari bahan yang bukan hasil dunia ini.

Setelah sahabat- sahabatnya pergi untuk mengorek kuburnya, mereka lihat telah ada sebuah kubur yang telah siap berkorek, dan kubur itu sungguh ajaib hasil korekannya, amat indah dan halus sekali. Sudah siap dan penuh dengan wangian, terbuat di dalam sebuah batu besar yang keras licin yang tidak dapat dikorek dengan beliung walaubagaimana pun besar dan tajamnya. Uwais terkenal di seluruh penduduk langit, mereka telah menenunkan kafannya yang dua lembar dan mereka juga yang telah membuatkan kuburnya di dalam sebuah batu yang besar dan keras. Kemudian sahabat- sahabatnya memasukkan jenazah Uwais ke dalam lubang tersebut, lalu dimiringkan seperti biasa dan kemudian mereka tutupi dengan tanah. Setelah selesai semuanya, mereka lihat kubur itu telah hilang dengan semua bekasnya. Seperti tidak ada kubur di situ. Demikianlah ia tidak suka dikenal manusia di dalam dunia. Permintaannya itu dikabulkan Allah. Kuburnya pun tidak dapat dilihat oleh penduduk dunia walaupun sahabat- sahabatnya di dalam barisan tersebut. Tuhan hendak menyatakan orang yang terkenal oleh penduduk langit, jenazahnya akan diurus oleh penduduk langit. Penduduk bumi tidak perlu susah kerananya. Kerana itu mereka lah yang layak mengurusnya dan mengurus jenazahnya dan membawanya kembali ke hadrat Allah S.w.t.

Demikianlah suatu peristiwa dari Uwais Al- Qarni dari Yaman, yang diwasiatkan Nabi S.a.w kepada sahabatnya, supaya sahabat- sahabatnya di kemudian hari mengenal sifat dan pekerti orang- orang yang mencintai Allah dan yang dicintaiNya. Yang paling berbahagia ialah orang yang selalu mengingat akan datangnya hari Kiamat, hari huru- hara yang sebesar- besarnya. Ia akan dapat dicapai bagi orang yang selalu mengingati Allah, hatinya selalu membaca tasbih, air matanya selalu meleleh teringatkan jalan yang sangat jauh, sedang bekalan masih terlampau sedikit. Di padang mahsyar saja manusia akan berjalan menuju ke mahsyar dengan jalan kaki biasanya seribu tahun di dunia baru akan sampai ke sana. Selepas iti barulah datang perhitungan amal, barulah diberi buku kanan atau kiri, barulah melintasi neraka untuk ke syurga. Berapa banyak pembayaran (secara duniawi) yang mesti disediakan. Oleh itu, setiap orang yang arif (di antaranya) orang- orang sufi yang mengetahui bagaimana juga usahanya dengan umur 50 tahun mukallaf, tidak mudah dapat menyediakan pembayaran yang demikian besarnya, kalau bukan dengan bantuan Allah S.w.t.

Uwais Al- Qarni termasuk orang yang mengingat perjalanan yang jauh itu. Ia selalu ingat bekalannya masih terlampau sedikit. Ke mana ia akan meminta pertolongan kalau bukan dari Tuhan yang Maha Esa, Allah S.w.t.
Uwais menumpukan harapannya dalam segenap hal kepada Allah. Siang dan malam, fikirannya hanya ditujukan kepada Allah. Apa saja amalnya, ia ingat Allah melihatnya. Kesalahan- kesalahan yang sangat kecil, ia elakkan sejauh mungkin, seperti kenderaan- kenderaan yang dipandu laju, mengelak dari terkena lubang- lubang yang kecil. Walau pun kecil tetapi kalau kenderaan dipandu laju, mungkin boleh terbalik dan sebagainya. Demikian juga dengan dosa- dosa kecil, kelalaian yang biasa mungkin membawa ke neraka jahannam yang sangat celaka. Contohnya, yang dikatakan Uwais tentang kesalahan- kesalahan kecil di dalam beribadat seperti menjulurkan kaki ke arah kiblat. Ia tetap mengelak daripada berbuat demikian kerana malu dan hormat akan Allah S.w.t. Ia memberikan contoh dirinya sendiri selama beribadat seperti berada di dalam majlis raja- raja. Ia harus memelihara seluruh adabnya selama berada di sana. Menurutnya, yang dikatakan Islam iaitu taat sampai fana, mesti dapatkan rasa lazat beribadat itu dan melakukan ibadat di bawah sorotan hati yang mendapat sinaran daripada Allah S.w.t. Iaitu suatu sifat yang hanya dikenal oleh ahli- ahli syurga.

Wallahu a'lam..

Pengertian Qadar Taqdir dan Qada'


Apa dia Qadar Taqdir itu?

Qadar taqdir ialah segala undang-undang kejadian, peraturan sebab musabab dan hukum hakam yang disusun, diatur dan disediakan oleh Allah swt menurut ketetapan ilmuNya dan kehendak kebijaksanaanNya serta penentuan iradatNya untuk melaksanakan pentadbiran alam seluruhnya.

Segala-galanya itu telah disempurnakan Tuhan pada azali serta diputuskan hukum berjalan kuatkuasanya pada bila-bila masa yang ia kehendaki.

Qadar taqdir mempunyai hubungan yang rapat dengan qada' Tuhan bahkan adakalanya apabila disebut "qadar taqdir" misalnya, maka termasuklah "qada'" yang azali, seperti yang tersebut dalam hadis yang telah lalu, mengenai "qalam menulis akan qadar taqdirnya".

Demikian juga apabila disebut "qada' yang azali" termasuklah "qadar taqdir Tuhan" seperti yang terkandung dalam hadis Abu Hurairah, yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Tirmizi, yang maksudnya: setelah Allah swt qada' kan (putuskan hukum berjalannya qadar taqdir) pentadbiran makhlukNya, ia tetapkan pada kitab hukumnya yang tersimpan di atas Arasy: satu hukum, iaitu "Sesungguhnya Rahmat Ku mendahului Kemurkaan Ku."


Apa ertinya Qada' itu?

"Qada" menurut bahasa Al Quran banyak maksudnya, dan "qada" yang menjadi pasangan "qadar taqdir" mempunyai dua bermaksud:

1. Bermaksud: Mempunyai hukum, seperti yang tersebut pada ayat 23 surah Al Isra', yang bererti: "..dan Tuhan mu telah memutuskan hukum wajib menyembahNya saja, jangan menyembah yang lain daripadanya, dan wajib berbuat baik kepada kedua ibu bapa, jangan menyakitinya..."

2. Bermaksud: Melaksanakan qadar taqdir, seperti yang tersebut pada ayat 44 surah Al Anfal, yang bererti: "..supaya Allah melaksanakan qadar taqdir perkara yang telah ditentukan berlakunya."


Qadar taqdir: Al quran dan Hadis


Qadar Taqdir di dalam Al Quran

Dalam Al Quran banyak ayat-ayat yang menyatakan bahawa tiap-tiap satu dari alam kejadian ada baginya qadar taqdir yang meliputi ketetapan cara berlakunya, keadaannya dan hukum hakamnya.

Di antara ayat- ayat yang banyak itu: ayat 3 surah At Talak, ayat 8 surah Ar Ra'du, ayat 49 surah Al Qamar, ayat 38 surah Al Ahzab, ayat 48 surah Al Mai'dah, yang di antara maksud- maksudnya menyatakan bahawa:

1. Allah swt dengan kehendak kebijaksanaan telah menentukan qadar taqdirnya bagi tiap2 sesuatu,

2. Apa jua keadaan tiap-tiap sesuatu dan qadar masanya telah tetap dan tentu di sisi ilmu Tuhan,

3. Tiap-tiap sesuatu yang Allah kehendaki berlakunya, ada qadar taqdir yang ditentukan baginya,

4. Tuhan menjadikan tiap-tiap sesuatu selaras dengan qadar taqdirnya,

5. Tiap-tiap satu umat manusia ditentukan Tuhan baginya satu syariat untuk sesuatu masa yang dikehendaki.



Qadar Taqdir di dalam Hadis

Nabi Muhammad saw juga banyak menerangkan soal qadar taqdir Tuhan, di antara keterangan-keterangan Nabi saw, hadis yang seperti berikut:

Dari 'Abdullah bin 'Amru bin Al 'As r.a, katanya: aku ada mendengar Rasulullah saw bersabda: "Allah swt telah memerintahkan supaya ditulis segala qadar taqdir sekalian makhluk sebelum ia menjadikan langit dan bumi dengan satu tempoh masa yang amat lanjut..." (H.R Muslim dan Tirmizi)

Dengan hadis ini Rasulullah saw menerangkan bahawa qadar taqdir bagi segala kejadian telah disediakan oleh Allah swt dan setelah ia menjadikan qalam, ia memerintahkan qalam supaya menulis, lalu qalam bertanya sebagaimana yang tersebut pada hadis Ibadat bin As Somat r.a, yang diriwayatkan oleh Tirmizi: "Apakah perkara yang Tuhan perintahkan aku menulis?" Tuhan berfirman:"Tulislah qadar taqdir yang ditetapkan bagi segala yang telah ada dan yang telah berlaku, dan juga segala yang akan ada serta yang akan berlaku seterusnya."

Kewajiban beriman dengan qadar taqdir diterangkan oleh Rasulullah saw pada beberapa hadis yang di antaranya, berikut:

Dari Jabir r.a, bahawa Nabi saw bersabda:"Tidak dikira seseorang beriman sehingga ia percaya dan mengakui benarnya qadar taqdir, baiknya dan jahatnya, dan sehingga ia meyakini bahawa apa yang ditaqdirkan kena atau sampai kepadanya tidak sekali-kali akan menyimpang daripadanya, dan apa yang ditaqdirkan menyimpang daripadanya, tidak sekali-kali akan kena atau sampai kepadanya." (H.R Tirmizi)

Dari Ibnu Ad Dailami, katanya: aku telah pergi berjumpa Abi bin Ka'ab, lalu aku berkata kepadanya:"terlintas dalam hatiku sedikit kemusykilan mengenai soal qadar taqdir, maka terangkanlah kepadaku suatu hadis mengenainya, semoga Allah menghilangkan kemusykilan itu dari hatiku"; Abi pun berkata:"...dan kalaulah kau dermakan pada jalan Allah emas sebesar gunung Uhud sekalipun, tidak akan diterima Allah daripadamu sehingga engkau percaya dan mengakui benarnya qadar taqdir, dan sehingga engkau meyakini bahawa apa yang telah ditaqdirkan kena atau sampai kepadamu tidak sekali-kali akan menyimpang daripadamu, dan bahawa apa yang telah ditaqdirkan menyimpang daripadamu tidak sekali-kali akan kena atau sampai kepadamu, dan kalaulah engaku mati dengan kepercayaan yang lain dari ini nescaya engkau masuk neraka"; Kata Ibnu Dailami lagi: kemudian aku pergi berjumpa 'Abdullah bin Mas'ud, lalu ia menyatakan seperti itu, kata Ibnu Dailami lagi: kemudian aku pergi berjumpa Huzaifah bin Al Yamani maka ia pun menyatakan seperti itu juga; kata Ibnu Dailami lagi: kemudian aku pergi berjumpa Zaid bin Thabit maka ia meriwayatkan kepadaku hadis dari Nabi saw yang seperti itu juga maksudnya." (H.R Abu Daud)