Apa dia Qadar Taqdir itu?
Qadar taqdir ialah segala undang-undang kejadian, peraturan sebab musabab dan hukum hakam yang disusun, diatur dan disediakan oleh Allah swt menurut ketetapan ilmuNya dan kehendak kebijaksanaanNya serta penentuan iradatNya untuk melaksanakan pentadbiran alam seluruhnya.
Segala-galanya itu telah disempurnakan Tuhan pada azali serta diputuskan hukum berjalan kuatkuasanya pada bila-bila masa yang ia kehendaki.
Qadar taqdir mempunyai hubungan yang rapat dengan qada' Tuhan bahkan adakalanya apabila disebut "qadar taqdir" misalnya, maka termasuklah "qada'" yang azali, seperti yang tersebut dalam hadis yang telah lalu, mengenai "qalam menulis akan qadar taqdirnya".
Demikian juga apabila disebut "qada' yang azali" termasuklah "qadar taqdir Tuhan" seperti yang terkandung dalam hadis Abu Hurairah, yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Tirmizi, yang maksudnya: setelah Allah swt qada' kan (putuskan hukum berjalannya qadar taqdir) pentadbiran makhlukNya, ia tetapkan pada kitab hukumnya yang tersimpan di atas Arasy: satu hukum, iaitu "Sesungguhnya Rahmat Ku mendahului Kemurkaan Ku."
Apa ertinya Qada' itu?
"Qada" menurut bahasa Al Quran banyak maksudnya, dan "qada" yang menjadi pasangan "qadar taqdir" mempunyai dua bermaksud:
1. Bermaksud: Mempunyai hukum, seperti yang tersebut pada ayat 23 surah Al Isra', yang bererti: "..dan Tuhan mu telah memutuskan hukum wajib menyembahNya saja, jangan menyembah yang lain daripadanya, dan wajib berbuat baik kepada kedua ibu bapa, jangan menyakitinya..."
2. Bermaksud: Melaksanakan qadar taqdir, seperti yang tersebut pada ayat 44 surah Al Anfal, yang bererti: "..supaya Allah melaksanakan qadar taqdir perkara yang telah ditentukan berlakunya."