Qadar taqdir: Al quran dan Hadis


Qadar Taqdir di dalam Al Quran

Dalam Al Quran banyak ayat-ayat yang menyatakan bahawa tiap-tiap satu dari alam kejadian ada baginya qadar taqdir yang meliputi ketetapan cara berlakunya, keadaannya dan hukum hakamnya.

Di antara ayat- ayat yang banyak itu: ayat 3 surah At Talak, ayat 8 surah Ar Ra'du, ayat 49 surah Al Qamar, ayat 38 surah Al Ahzab, ayat 48 surah Al Mai'dah, yang di antara maksud- maksudnya menyatakan bahawa:

1. Allah swt dengan kehendak kebijaksanaan telah menentukan qadar taqdirnya bagi tiap2 sesuatu,

2. Apa jua keadaan tiap-tiap sesuatu dan qadar masanya telah tetap dan tentu di sisi ilmu Tuhan,

3. Tiap-tiap sesuatu yang Allah kehendaki berlakunya, ada qadar taqdir yang ditentukan baginya,

4. Tuhan menjadikan tiap-tiap sesuatu selaras dengan qadar taqdirnya,

5. Tiap-tiap satu umat manusia ditentukan Tuhan baginya satu syariat untuk sesuatu masa yang dikehendaki.



Qadar Taqdir di dalam Hadis

Nabi Muhammad saw juga banyak menerangkan soal qadar taqdir Tuhan, di antara keterangan-keterangan Nabi saw, hadis yang seperti berikut:

Dari 'Abdullah bin 'Amru bin Al 'As r.a, katanya: aku ada mendengar Rasulullah saw bersabda: "Allah swt telah memerintahkan supaya ditulis segala qadar taqdir sekalian makhluk sebelum ia menjadikan langit dan bumi dengan satu tempoh masa yang amat lanjut..." (H.R Muslim dan Tirmizi)

Dengan hadis ini Rasulullah saw menerangkan bahawa qadar taqdir bagi segala kejadian telah disediakan oleh Allah swt dan setelah ia menjadikan qalam, ia memerintahkan qalam supaya menulis, lalu qalam bertanya sebagaimana yang tersebut pada hadis Ibadat bin As Somat r.a, yang diriwayatkan oleh Tirmizi: "Apakah perkara yang Tuhan perintahkan aku menulis?" Tuhan berfirman:"Tulislah qadar taqdir yang ditetapkan bagi segala yang telah ada dan yang telah berlaku, dan juga segala yang akan ada serta yang akan berlaku seterusnya."

Kewajiban beriman dengan qadar taqdir diterangkan oleh Rasulullah saw pada beberapa hadis yang di antaranya, berikut:

Dari Jabir r.a, bahawa Nabi saw bersabda:"Tidak dikira seseorang beriman sehingga ia percaya dan mengakui benarnya qadar taqdir, baiknya dan jahatnya, dan sehingga ia meyakini bahawa apa yang ditaqdirkan kena atau sampai kepadanya tidak sekali-kali akan menyimpang daripadanya, dan apa yang ditaqdirkan menyimpang daripadanya, tidak sekali-kali akan kena atau sampai kepadanya." (H.R Tirmizi)

Dari Ibnu Ad Dailami, katanya: aku telah pergi berjumpa Abi bin Ka'ab, lalu aku berkata kepadanya:"terlintas dalam hatiku sedikit kemusykilan mengenai soal qadar taqdir, maka terangkanlah kepadaku suatu hadis mengenainya, semoga Allah menghilangkan kemusykilan itu dari hatiku"; Abi pun berkata:"...dan kalaulah kau dermakan pada jalan Allah emas sebesar gunung Uhud sekalipun, tidak akan diterima Allah daripadamu sehingga engkau percaya dan mengakui benarnya qadar taqdir, dan sehingga engkau meyakini bahawa apa yang telah ditaqdirkan kena atau sampai kepadamu tidak sekali-kali akan menyimpang daripadamu, dan bahawa apa yang telah ditaqdirkan menyimpang daripadamu tidak sekali-kali akan kena atau sampai kepadamu, dan kalaulah engaku mati dengan kepercayaan yang lain dari ini nescaya engkau masuk neraka"; Kata Ibnu Dailami lagi: kemudian aku pergi berjumpa 'Abdullah bin Mas'ud, lalu ia menyatakan seperti itu, kata Ibnu Dailami lagi: kemudian aku pergi berjumpa Huzaifah bin Al Yamani maka ia pun menyatakan seperti itu juga; kata Ibnu Dailami lagi: kemudian aku pergi berjumpa Zaid bin Thabit maka ia meriwayatkan kepadaku hadis dari Nabi saw yang seperti itu juga maksudnya." (H.R Abu Daud)