Kolam Al-Kautsar Rasulullah


Di antara perkara- perkara akhirat yang wajib diketahui serta dipercayai dan diakui benarnya ialah ada di sana kolam air bagi tiap- tiap seorang Nabi untuk diminum oleh umat masing- masing.

Bagi Nabi Muhammad S.a.w disediakan sebuah kolam yang airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada air madu, piala- pialanya banyak tidak terhitung.

Nabi Muhammad S.a.w akan berada dekat kolam itu pada hari kiamat menunggu sesiapa di antara umatnya S.a.w yang datang minum dari airnya.

Sesiapa yang dapat minum dari air kolam itu tidak akan merasai haus dahaga selamanya, ada pun minuman- minuman yang ada dalam syurga maka disediakan hanya untuk di minum buat berlazat- lazat dan bersukaria sahaja, kerana: " Sesungguhnya engkau wahai penduduk syurga tidak akan merasai haus dahaga di dalamnya". (Surah Taha: 119)

Air kolam itu tidak dapat di minum oleh sesiapa yang menukar bawaan hidupnya yang baik kepada yang tidak baik selepas Nabi Muhammad S.a.w menyatakan apa yang baik dan apa yang sebaliknya, bahkan orang yang tersebut disekat dari sampainya ke kolam itu dan dijauhkan daripadanya.

Dari Aisyah R.a, Rasulullah S.a.w bersabda: (pada hari kiamat) Aku akan berada di kolamku (Al-Kautsar) ada orang yang disekat-sekat sampai kepadaku. Lalu aku berkata: " Jauhlah, jauhlah (dari rahmat Allah), sesiapa yang mengubah ajaran- ajaranku sesudah aku menerangkannya'". (HR Muslim)

Kolam itu namanya "Kolam Al-Kautsar", kerana airnya adalah dari air sebatang sungai di syurga yang bernama "Al-Kautsar" yang dikurniakan Tuhan khas kepada Nabi Muhammad S.a.w; sungai itulah yang memenuhi kolam yang tersebut melalui dua saluran emas dan perak. Bau tanah dasar sungai itu lebih harum daripada kasturi.