Sakaratul Maut
Sakaratul maut adalah satu keadaan yang tetap akan ditempuh oleh setiap orang apabila sampai ajalnya yang telah ditentukan, dengan berbagai- bagai cara yang berat sukar atau yang mudah dan senang.
Walau pun demikian, keadaan "sakaratul maut" tidaklah menandakan baik atau tidaknya nasib seseorang selepas matinya, kerana dari maksud hadis- hadis yang tersebut dapat difaham bahawa susah sukar yang terdapat pada "sakaratul maut" itu memang ada hikmatnya, iaitu boleh jadi Allah S.w.t hendak membersihkan kesalahan- kesalahan yang telah dilakukan oleh seseorang itu atau hendak menggandakan pahala dan meninggikan darjatnya.
Oleh itu tidaklah benar anggapan sesetengah orang yang menyangka bahawa beratnya "Sakaratul maut" itu menandakan kemurkaan Tuhan, dan ringannya pula menandakan keredhaan Tuhan.
Sebab itulah saidatina Aisyah R.a, berkata:" Aku tidak merasa iri hati kepada seseorang dengan sebab senang keadaannya ketika ia mengalami sakaratulmaut setelah aku melihat Rasulullah S.a.w sendiri mengalami sakaratul maut dengan keadaan yang agak sukar."
Saidina Umar Bin Al-Khatab R.a, pula pernah berkata:" Apabila seseorang mukmin masih menanggung sedikit dari dosa- dosa yang tidak dihapuskan oleh amalan baiknya, Allah akan menjadikannya menderita susah sukar sakaratul maut supaya ia dengan penderitaan yang demikian dapat mencapai tingkatan martabat dalam syurga; ada pun orang yang kafir pula, apabila ia melakukan sesuatu perkara yang baik di dunia, maka Tuhan memudahkan dia menghadapi sakaratul maut, supaya dengan itu dapat ia menerima balasan kebaikannya itu di dunia, kemudian ia akan terus ke neraka pada hari akhirat kelak."
Menurut huraian alim ulama: Tuhan menjadikan nabi- nabi dan wali- wali-Nya menderita susah sukar "sakaratul maut" hanya untuk menambahkan ketinggian darjat mereka, adapun orang- orang Islam yang dikenakan mereka mengalami susah sukar "sakaratul maut" adalah menjadi "kifarah" (penghapus dosa), atau balasan siksa terhadap kesalahan- kesalahan yang mereka lakukan. Dalam pada itu, tiap- tiap seseorang dalam menghadapi "Sakaratul maut" dikehendaki mengingati Allah dengan bersungguh- sungguh serta berdoa semoga Allah S.w.t memberi pertolongan kepadanya semasa ia mengalami penderitaan itu.
Perasaan takut kepada kemurkaan Allah dan perasaan mengharapkan rahmat Allah apabila berada dalam hati seseorang, terutama semasa orang itu dalam keadaan hampir menemui ajalnya, tetap mendapat penghargaan yang tinggi dari Allah S.w.t.
Meskipun demikian, tiap- tiap seseorang dalam masa ia masih sihat dan bertenaga menjalankan tugasnya, tertuntut mengambil berat mengisi jiwanya dengan perasaan gerun gementar terhadap kemurkaan Allah, supaya ia tidak terdorong mencuaikan suruhan-Nya dan melanggar segala larangan-Nya.
Sebaliknya semasa ia terlantar menghadapi "Sakaratul Maut", hendaklah ia menumpukan harapan-Nya kepada Allah yang melimpah- limpah rahmat-Nya.