Jawab: Puasa ialah menahan diri daripada makan minum dan perkara- perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar sadiq hingga masuk matahari dengan niat dan syarat- syarat yang tertentu.
Soal: Apa hukumnya puasa itu?
Jawab: Puasa itu hukumnya adalah seperti berikut:
(a) Wajib, iaitu seperti puasa bulan Ramadhan, puasa nazar, dan puasa kaffarah.
(b) Sunat, iaitu seperti:
(i) Puasa pada tiap- tiap hari Isnin dan Khamis.
(ii) Puasa Enam iaitu puasa enam hari dalam bulan Syawal.
(iii) Puasa pada sembilan haribulan Zulhijjah bagi orang yang bukan mengerjakan haji.
(iv) Puasa berselang- selang hari kerana mengikut amalan Nabi Allah Daud.
(v) Hari Asyura (sepuluh Muharram)
(vi) Ayyaamul-Baidh iaitu hari-hari 13, 14 dan 15 pada tiap- tiap bulan.
(vii) Ayaamus-Sud iaitu hari- hari 28, 29 dan 30 pada tiap- tiap bulan.
(c) Makruh, iaitu seperti puasa pada hari Jumaat yang berasingan dengan tidak mempunyai apa- apa tujuan, puasa berturut- turut dengan tidak makan sahur dan puasa berturut- turut dengan tidak makan sahur dan puasa sepanjang tahun.
(d) Haram, iaitu seperti:
(i) Puasa pada Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji.
(ii) Puasa pada hari- hari Tasyriq, iaitu 11, 12 dan 13 haribulan Zulhijjah.
(iii) Puasa pada hari Syak iaitu 30 Sya'ban.
(e) Harus, iaitu seperti puasa pada bila- bila masa sahaja kecuali pada hari- hari yang diharamkan dan pada hari-hari makruh berpuasa.
Soal: Apa hukum puasa Ramadhan?
Jawab: Hukumnya fardhu 'ain ke atas diri tiap- tiap orang Islam yang cukup syarat- syaratnya.
• PENENTUAN AWAL BULAN RAMADHAN
Soal: Bagaimana caranya menentukan awal bulan Ramadhan itu bagi memulai ibadat puasa?
Jawab: Awal bulan Ramadhan bagi memulai wajib menunaikan ibadat puasa itu ditentukan dengan salah satu dari cara- cara berikut:
(a) Melihat anak bulan Ramadhan setelah terbenam matahari pada 29 haribulan Sya'ban, maka wajib berpuasa ke atas orang yang melihat anak bulan itu.
(b) Sabit anak bulan Ramadhan telah dilihat, dengan ketetapan Hakim Syar'i (Pihak yang berkuasa Agama) berdasarkan keterangan saksi lelaki yang adil, walaupun seorang bahawa ia melihat anak bulan Ramadhan dan Hakim Syar'i itu berkata bahawa telah sabit pada saya anak bulan Ramadhan, atau katanya saya hukumkan bahawa anak bulan Ramadhan adalah sabit. Maka wajib puasa ke atas orang yang tidak melihat anak bulan itu.
(c) Adanya alamat yang menandakan bahawa bulan Ramadhan telah masuk menurut adat kebiasaan yang berlaku bagi sesuatu masyarakat, seperti tembakan meriam, bunyi beduk, lampu cucul yang terpasang di menara masjid dan lain- lain lagi, mka wajib berpuasa bagi orang yang melihat alamat itu.
(d) Mendapat perkhabaran dari seorang lelaki yang adil bahawa ia melihat anak bulan Ramadhan, dan penerima perkhabaran itu percaya akan kebenarannya. Orang yang adil itu hendaklah beragama Islam dan taat mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan larangannya. Maka wajib berpuasa ke atas orang yang menerima perkhabaran yang dipercayainya itu.
(e) Mencukupkan kiraan bulan Sya'ban 30 hari. Apabila bulan Sya'ban cukup 30 hari maka wajib ke atas orang Islam berpuasa Ramadhan pada hari berikutnya.
• PENENTUAN PUASA BAGI NEGERI LAIN
Soal: Adakah wajib berpuasa bagi penduduk sebuah negeri jika anak bulan Ramadhan itu sabit pada negeri yang lain?
Jawab: Jika sabit anak bulan Ramadhan pada satu negeri maka wajib pula berpuasa bagi penduduk negeri yang hampir dan satu matlak dengan negeri yang sabit anak bulan Ramadhan itu. Tetapi jika negeri yang hampir dan satu matlak itu mempunyai Hakim Syar'i (Pihak Yang Berkuasa Agama) sendiri maka ketetapan dan perintahnya wajib ditaati, ileh itu jika ia nenetapkan bahawa anak bulan tidak sabit di negerinya maka wajib penduduk negeri itu mengikut dan taat kepada ketetapan itu, walaupun anak bulan Ramadhan itu sabit di negeri lain yang hampir dan satu matlak dengannya.
Soal: Apa yang dimaksudkan dengan satu matlak itu?
Jawab: Maksud satu matlak ialah jika bulan itu dapat dilihat satu negeri maka negeri yang hampir dengannya itupun dapat melihatnya pada ghalibnya.
Soal: Apa yang dimaksudkan dengan bersalah- salahan matlak (tidak sama matlaknya)?
Jawab: Maksud bersalah- salahan matlak (tidak sama matlaknya) di antara dua negeri itu ialah sekira- kira jikalau bulan dapat dilihat pada salah satu negeri maka bulan itu tidak dapat dilihat pada negeri yang lain pada ghalibnya.