Perkara- perkara yang wajib dizakat
Soal: Apa yang dimaksudkan dengan zakat itu?
Jawab: Zakat ialah nama bagi harta yang tertentu, diambil daripada harta yang tertentu, menurut peraturan- peraturan yang tertentu dan diberikan kepada orang- orang yang berhak menerimanya.
Soal: Apa hukumnya mengeluarkan zakat?
Jawab: Hukum mengeluarkan zakat adalah wajib bagi tiap- tiap orang Islam yang mempunyai harta mengikut syarat- syaratnya.
Soal: Terbahagi kepada berapa zakat itu?
Jawab: Zakat terbahagi kepada dua, iaitu:
(a) Zakat fitrah.
(b) Zakat harta.
Soal: Apa dia perkara- perkara (harta) yang wajib dizakat itu?
Jawab: Harta yang wajib dizakat itu lima perkara, iaitu:
(a) Binatang ternak.
(b) Biji- bijian dan buah- buahan.
(c) Emas dan perak (termasuk matawang).
(d) Harta galian dan rikaz.
(e) Harta perniagaan.
Zakat Fitrah
Soal: Apa yang dimaksudkan dengan zakat fitrah?
Jawab: Zakat fitrah ialah makanan yang wajib dikeluarkan pada Hariraya Puasa oleh tiap- tiap orang Islam yang mempunyai kelebihan makanan bagi dirinya dan orang- orang yang di bawah tanggungannya untuk siang dan malam hariraya itu.
Soal: Apa dia syarat- syarat yang mewajibkan zakat fitrah itu?
Jawab: Syarat- syarat yang mewajibkan zakat fitrah itu tiga perkara, iaitu:
(a) Islam.
(b) Mempunyai harta lebih daripada nafkah dirinya dan nafkah orang yang di bawah tanggungannya pada hariraya dan malamnya, dan lebih daripada perbelanjaan pakaian yang layak bagi dirinya dan tanggungannya itu.
(c) Hidup pada akhir bulan Ramadhan dan pada permulaan bulan Syawal.
Soal: Adakah orang kafir wajib mengeluarkan zakat fitrah?
Jawab: Tidak wajib.
Soal: Adakah orang yang mempunyai harta, tetapi hutangnya lebih banyak daripada hartanya itu, wajib mengeluarkan zakat fitrah?
Jawab: Wajib menegluarkan zakat fitrah.
Soal: Adakah wajib dikeluarkan zakat fitrah bagi orang yang mati sebelum jatuh matahari pada akhir bulan Ramadhan?
Jawab: Tidak wajib dikeluarkan zakat fitrahnya kerana ia tidak hidup pada permulaan bulan Syawal.
Soal: Adakah wajib dikeluarkan zakat fitrah bagi orang yang mati sesudah jatuh matahari pada akhir bulan Ramadhan?
Jawab: Wajib dikeluarkan zakat fitrahnya, kerana ia hidup pada akhir bulan Ramadhan dan pada permulaan bulan Syawal.
Soal: Adakah wajib dikeluarkan zakat fitrah bagi kanak- kanak yang dilahirkan sebelum jatuh matahari pada akhir bulan Ramadhan?
Jawab: Wajib dikeluarkan zakat fitrahnya, kerana ia hidup pada akhir bulan Ramadhan dan pada permulaan bulan Syawal.
Soal: Adakah wajib dikeluarkan zakat fitrah bagi kanak- kanak yang dilahirkan sesudah jatuh matahari akhir bulan Ramadhan?
Jawab: Tidak wajib dikeluarkan zakat fitrahnya kerana ia belum hidup pada akhir bulan Ramadhan.
Soal: Adakah zakat fitrah itu hanya wajib kepada orang yang aqil baligh?
Jawab: Zakat fitrah wajib ke atas tiap- tiap diri seorang Islam, samada ia lelaki atau perempuan, samada ia kanak- kanak ataupun orang- orang tua.
Waktu mengeluarkan zakat fitrah
Soal: Bila waktu mengeluarkan zakat fitrah itu?
Jawab: Waktu mengeluarkan zakat fitrah itu terbahagi kepada lima, iaitu:
(a) Waktu wajib: Sesudah jatuh matahari akhir bulan Ramadhan.
(b) Waktu sunat: Selepas sembahyang Subuh hingga imam mendirikan sembahyang hari raya.
(c) Waktu harus: Dari awal bulan Ramadhan.
(d) Waktu makruh: Selepas sembahyang hari raya hingga jatuh matahari hari raya.
(e) Waktu haram: Sesudah jatuh matahari hariraya.
Benda dan kadar zakat fitrah
Soal: Apa dia benda yang wajib dikeluarkan untuk zakat fitrah?
Jawab: Benda yang wajib dikeluarkan untuk zakat fitrah itu ialah makanan asasi yang mengenyangkan bagi penduduk sesudah negeri, seperti beras di Alam Melayu, gandum di Eropah, buah kurma dan gandum di negeri Arab.
Soal: Apakah sifat- sifat yang dikehendaki pada benda yang wajib yang dijadikan zakat fitrah itu?
Jawab: Sifat- sifat yang dikehendaki ialah seperti berikut:
(a) Makanan asasi yang ghalib dimakan oleh penduduk sesuatu negeri.
(b) Makanan itu mengenyangkan.
(c) Sejahtera daripada bercampur dengan benda- benda lain seperti tanah dan hampa.
(d) Sejahtera daripada aib, seperti berulat dan basah dan sudah lama sehingga berubah rasanya atau warnanya atau baunya.
Soal: Apa hukumnya jika bagi sesebuah negeri itu ada beberapa makanan yang mengenyangkan, tetapi tidak ghalib dimakan oleh penduduknya, bahkan sebahagian memakan pada ghalibnya sesuatu makanan, dan sebahagian yang lain memakan ada ghalibnya sesuatu jenis makanan yang lain?
Jawab: Terserahlah kepada yang akan mengeluarkan zakat itu memilih mana satu yang ia kehendaki untuk dijadikannya zakat fitrah, dan yang afdhalnya dipilihnya jenis makanan yang paling baik dan mulia pada pandangan masyarakat negeri itu.
Soal: Apa hukumnya jika bagi sesebuah negeri itu tidak mempunyai makanan yang mengenyangkan untuk dijadikan zakat fitrah?
Jawab: Wajib dikeluarkan jenis makanan yang mengenyangkan daripada makanan negeri yang hampir kepadanya.
Soal: Adakah sagu boleh dijadikan zakat fitrah?
Jawab: Tidak, kerana ia bukan jenis makanan mengenyangkan yang ghalib dimakan oleh penduduk negeri ini.
Soal: Apa hukumnya jika beras diganti dengan gandum untuk dijadikan zakat fitrah?
Jawab: Adalah memadai dikeluarkan jenis makanan yang terlebih tinggi mutunya dari segi mengenyangkan sebagai ganti kepada jenis makanan yang kurang mutunya, tetapi cara sebaliknya tidaklah memadai. Jika penduduk sebuah negeri pada ghalibnya makan beras maka memadai diganti dengan gandum jika gandum itu menjadi makanan ghalib juga di negeri itu, kerana gandum terlebih tinggi daripada beras dari segi mengenyangkan , tetapi adalah tidak memadai jika gandum diganti dengan beras.
Soal: Haruskah zakat fitrah itu dikeluarkan menurut nilaian harga makanan tersebut dengan mata wang?
Jawab: Menurut mazhab Syafi'i bahawa zakat fitrah itu dikeluarkan daripada makanan yang asasi yang boleh mengenyangkan, tetapi menurut mazhab Hanafi bahawa zakat fitrah itu boleh dikeluarnya menurut nilaian harga makanan tersebut dengan matawang. Maka sudah menjadi amalan di negeri kita ini bahawa zakat fitrah dikeluarkan dalam bentuk beras, tetapi tidaklah ditegah jika seorang itu mahu mengeluarkan zakat fitrah dengan matawang menurut nilaian harga beras tersebut dengan syarat orang itu bertaklid pada mazhab Hanafi dan kedua- dua cara itu adalah sah di di sisi syara'.
Soal: Berapakah kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan itu?
Jawab: Kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan bagi diri tiap- tiap seorang ialah satu gantang Baghdad iaitu empat kali, dua apak yang sederhana penuh dengan beras, bersamaan dengan tiga kati dua belas tahil (3 kati 12 tahil) atau 2 7/10 kg, atau 3 1/2 liter.
Soal: Apakah hukumnya jika seorang itu tidak mempunyai satu gantang beras, bahkan hanya ada padanya setengah gantang, wajibkah ia mengeluarkan fitrah?
Jawab: Wajib ia mengeluarkan zakat fitrah seberapa banyak yang terdaya olehnya, umpamanya setengah gantang atau kurang daripadanya, kerana memelihara akan perkara yang wajib ke atasnya walaupun dengan kadar yang sedapat- dapatnya sahaja.
Soal: Apa hukumnya, jika seorang itu hanya mempunyai setengah gantang gandum dan setengah gantang beras, haruskah kedua- duanya disatukan untuk dijadikan zakat fitrah?
Jawab: Tidak harus kedua- duanya disatukan bahkan ia keluarkan satu jenis sahaja.