Dusta
Lidah hendaklah dipelihara daripada berbohong, berdusta, bercakap tidak benar, samada bercakap secara bersungguh- sungguh atau pun secara bergurau- gurau, kerana perbuatan berdusta secara bergurau- gurau itu boleh membawa kepada perbuatan berdusta secara bersungguh- sungguh.
Rasulullah s.a.w ada bersabda, yang bermaksud: “Takutlah kamu akan berdusta kerana ia adalah pangkal maksiat, dan kedua- duanya itu (pembohong dan membuat maksiat) di dalam api neraka” dan sabda baginda lagi, yang bermaksud: “ Bahawasanya dusta itu adalah pintu daripada beberapa pintu munafik”.
Berdusta itu dilarang, tetapi ada kalanya ia menjadi wajib dan adakalanya ia menjadi harus (mubah).
Dusta menjadi wajib termasuklah empat keadaan berikut:-
1. Berdusta kerana hendak melepaskan orang yang hendak dibunuh oleh orang lain secara zalim.
2. Berdusta kerana hendak menyelamatkan harta orang yang diamanahkan kepadanya daripada orang yang zalim.
3. Berdusta kerana hendak memelihara harta orang islam daripada hendak dizalimi oleh orang.
4. Berdusta kerana hendak memelihara akan isteri orang islam dariapda hendak dizalimi oleh orang.
Syarat- syarat maka berdusta itu menjadi wajib di dalam keadaan- keadaan tersebut iaitu hendaklah perkara- perkara yang dinyatakan itu tidak terlepas, atau tidak selamat, atau tidak terpelihara kecuali dengan jalan berdusta. Maka dalam keadaan sedemikian adalah diwajibkan berdusta.
Dusta menjadi harus (mubah) termasuklah dua keadaan berikut:-
1. Berdusta kerana hendak mendamaikan orang yang berkelahi dan berbantah- bantah.
2. Berdusta kerana hendak mendamaikan antara dua orang isteri, dan dalam keadaan yang seumpamanya.
Pendapat Imam Al Ghazali dalam perkara dusta:-
1. Tiap- tiap maksud yang baik yang boleh dicapai dengan jalan bercakap benar dan boleh juga dicapai dengan jalan berdusta, maka berdusta dalam perkara sedemikian adalah haram.
2. Jika maksud yang baik itu hanya boleh dicapai dengan jalan berdusta, dan ia tidak boleh dicapai dengan bercakap benar, maka berdusta dalam perkara sedemikian adalah harus dengan syarat maksud itu adalah maksud yang harus.
3. Jika maksud yang baik itu hanya boleh dicapai dengan jalan berdusta dan ia tidak boleh dicapai dengan jalan bercakap benar maka berdusta dalam perkara sedemikian adalah wajib dengan syarat maksud itu adalah maksud yang wajib.
4. Jika bercakap benar boleh menumpahkan darah orang islam yang telah bersembunyi dariapda orang yang zalim, maka berdusta dalam perkara sedemikian adalah wajib.
5. Manakala tidak dapat disempurnakan maksud berperang sabil atau berperang dengan orang ‘bughat' atau mendamaikan orang yang berkelahi atau melembutkan hati orang yang ditimpa mudharat melainkan dengan jalan berdusta, maka berdusta dalam perkara sedemikiam adalah harus.
6. Walau bagaimanapun, hendaklah dipelihara diri daripada berdusta dan mengelakkan diri daripada melakukannya seberapa yang dapat.