Pengertian beriman kepada Qadar Taqdir
Beriman kepada qadar taqdir ialah berusaha menjalankan segala undang-undang, peraturan dan hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah swt pada azali serta diputuskan hukum berjalannya apa yang diputuskan itu.
Allah swt telah pun memutus dan menetapkan baginya tiap-tiap satu natijah ada pendahuluannya, dan bagi tiap-tiap suatu musabab ada sebabnya, serta tiap-tiap satu tujuan ada jalan untuk mencapainya.
Dengan yang demikian, sesiapa yang menunggu berhasilnya sesuatu dengan tidak melalui sebab, pendahuluannya, dan jalan mencapainya yang ditetapkan dan ditentukan oleh Allah, bermakna ia kufur, tidak beriman kepada qadar taqdir dan qada' yang azali.
Dengan penjelasan yang tersebut, maka orang yang beriman kepada qadar taqdir dan qada' Tuhan, ialah orang yang rajin berusaha dan beramal mengikut undang-undang, peraturan dan hukum hakam Tuhan, dan giat mencari qadar taqdir yang menjayakan maksudnya.
Oleh itu, tidaklah patut seseorang berdalih dengan "soal qada' dan qadar" apabila ia cuai melaksanakan apa yang Tuhan jadikan sebab atau jalan mencapai sesuatu maksud, kerana qada' dan qadar itu tidak terdapat padanya selain daripada menentukan hukum dan peraturan serta mengikat sebab dengan musabab yang menjadi asas bagi semua kejadian, asas bagi semua syariat, serta asas bagi hisab dan balasan.
Kalau lah benar dalihnya orang yang beriman, nescaya sia-sialah Tuhan mengutuskan rasul-rasulNya dan menurunkan kitab-kitabNya, yang mengajak manusia kepada mematuhi ajaran agama Allah dan menjalankan segala usaha yang menyebabkan kebaikan dan kebahagiaan manusia.
Memang benar! "Untung nasib" yang akan didapati oleh seseorang dengan pilihan dan ikhtiarnya sendiri samada baik atau buruk, iman atau kufur, sedia diketahui oleh Allah pada azali; tetapi pengetahuan Allah yang yang demikian tidak menjadikan orang itu dipaksa melakukan apa yang diketahui oleh Allah 'Azzawajalla, kerana ilmu Allah ialah satu sifat yang dengannya segala sesuatu terdedah kepadanya semenjak dari azali lagi, iaitu segala sesuatu yang akan berlaku, meliputi hakikatnya, kemahuannya, dan apa yang dipilih oleh manusia dengan iradat yang dikurniakan Tuhan kepadanya, juga apa yang dilakukan oleh manusia dengan ikhtiarnya akan apa yang dipilihnya itu.
Misalnya, apabila Allah mengetahui dengan ilmuNya bahawa si polan akan memilih perbuatan zina dan akan melakukan zina itu dengan ikhtiarnya, maka apa yang dipilih dan dilakukan oleh si polan itu adalah perkara yang tepat dengan apa yang diketahui oleh Allah swt pada azali, tetapi ilmu Allah itu tidak mengikat si polan supaya memilih dan melakukan perbuatan zina yang tersebut.
Hakikat ini sayugia difahami dengan sebaik-baiknya supaya tidak timbul sebarang kemusykilan mengenai keadilan Tuhan.
Ini berdasarkan bahawa manusia dijadikan Tuhan berkuasa melakukan perkara yang baik dan menjauhkan diri dari melakukan perkara yang buruk, juga berdasarkan bahawa manusia dijadikan Tuhan bebas memilih sesuatu bagi dirinya.
Jelas, tiap-tiap seorang mempunyai iradat (kemahuan memilih), dan kudrat (kuasa melakukan), yang Allah tidak menjadikan keduanya pada diri manusia dengan sia-sia sahaja, bahkan Tuhan menjadikan keduanya tempat bergantungan tanggungjawab menyempurnakan perintahNya, juga asas yang membolehkan perbuatan seseorang itu disandarkan kepadaNya.
Dengan yang demikian, maka terserahlah kepada manusia memilih dan melakukan apa yang dipilihnya itu samada baik atau buruk, dan Tuhan hanya melaksanakan apa sahaja qadar taqdir yang dipilih oleh seseorang.