Berkata Usamah bin Zaid:"Aku mendengar Rasulullah S.a.w bersabda:"Pada hari kiamat, dibawa orang yang berilmu lalu dilemparkan ke dalam neraka. Maka keluarlah perutnya. Dia mengelilingi perutnya itu seperti keledai mengelilingi gilingan gandum. Penduduk neraka mengelilinginya, seraya bertanya:"Mengapa engkau begini?" Menjawab orang yang berilmu itu:"Adalah aku menyuruh dengan kebaikan dan aku sendiri tidak mengerjakannya. Aku melarang dari kejahatan dan aku sendiri mengerjakannya".
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Dilipatgandakan azab kepada orang yang berilmu disebabkan maksiatnya kerana ia mengerjakan maksiat itu dengan ilmu.
Allah S.w.t berfirman: "Bahawa orang munafiq itu dalam tingkat yang paling bawah dari api neraka".
(Surah An-Nisa:145)
Kerana mereka ingkar sesudah berilmu. Dijadikan orang Yahudi lebih jahat dari orang Nasrani, padahal orang Yahudi tidak mengakui Allah mempunyai anak dan tidak mengatakan bahawa Allah itu yang ke tiga dari tiga, adalah disebabkan orang Yahudi itu ingkar sesudah tahu.
Firman Allah S.w.t: "Mereka mengetahuinya (kitab suci) seperti mengetahui anaknya sendiri".
(Surah Al-Baqarah:156)
Dan berfirman Allah S.w.t lagi:"Setelah datang kepada mereka apa yang mereka ketahui, mereka tidak percaya kepadanya. Sebab itu Allah S.w.t mengutuki orang² yang kafir".
(Surah Al-Baqarah:89)
Firman Allah S.w.t mengenai kisah Bal'am bin Ba'ura':"Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan keterangan² Kami kepadanya, lalu dibuangnya. Sebab itu, dia didatangi syaitan dan termasuk orang² yang sesat jalan".
(Surah Al-A'raaf:175)
Sehinggakan Allah S.w.t berfirman:"Orang yang seumpama anjing, kalau engkau halau, dihulurkannya lidahnya dan kalau engkau biarkan, dihulurkannya jua lidahnya".
(Surah Al-A'raaf:176)