Berkata Al-Auza'i r.a: "Diduga oleh pembuat peti² mayat bahawa tak ada yang lebih busuk selain dari mayat orang² yang tak beriman. Maka diwahyukan Tuhan kepadanya bahawa perut ulama su' lebih busuk dari itu".
Berkata Al-Fudhail bin 'Iyadl r.a:"Sampai kepadaku bahawa orang berilmu yang fasiq didahulukan penyiksaannya pada hari kiamat, daripada penyembah² berhala".
Berkata Abu Ad-Darda' r.a: "Siksaan neraka bagi orang yang tidak berilmu, satu kali dan bagi orang yang berilmu yang tidak mengamalkan tujuh kali".
Berkata Asy-Sya'bi:"Muncul pada hari kiamat suatu golongan dari penduduk neraka. Maka bertanya penduduk syurga:"Apakah sebabnya maka tuan² dimasukkan ke dalam neraka? Adapun kami ini, maka dimasukkan Allah ke dalam syurga ialah kerana kelebihan pengajaran dan pelajaran dari tuan². Maka penduduk neraka menjawab:"Kerana kami menyuruh dengan kebajikan dan tidak kami kerjakan, melarang dari kejahatan dan kami kerjakan".
Berkata Hatim Al-Ashamm r.a:"Tidak adalah kerugian yang paling hebat pada hari kiamat, selain dari orang yang mengajari manusia ilmu pengetahuan lalu diamalkan mereka, sedang dia sendiri tidak mengamalkannya. Maka mereka memperoleh kemenangan dengan sebabnya dan dia sendiri binasa".
Berkata Malik bin Dinar:"Bahawa orang yang berilmu apabila tidak berbuat sepanjang ilmunya, maka lenyaplah pengajarannya dari hati manusia seperti lenyapnya embun pagi dari bukit Sofa".