Hudud adalah kata jamak daripada perkataan Had. Menurut pengertian bahasa ia bermaksud untuk mencegah atau menyekat di antara dua perkara atau benda dan ia juga membawa maksud halangan.
Hudud menurut pengertian istilah umum ialah hukuman tertentu terhadap perbuatan jahat iaitu suatu bentuk hukuman keseksaan yang mana bentuk dan kadarnya telah ditentukan oleh Allah S.w.t dan syara', dan ia mestilah dilaksanakan untuk menjaga hak Allah S.w.t dan kepentingan masyarakat awam.
Hudud menurut pengertian yang lain ialah hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah S.w.t dalam al-Quran serta ditetapkan oleh Nabi S.a.w melalui hadis Baginda. Contohnya, hukuman rejam terhadap penzina yang tidak muhsan telah ditetapkan sebanyak 100 kali sebatan.
Sebagaimana firman Allah S.w.t,
maksudnya:" Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap² seorang dari keduanya seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah S.w.t dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang yang beriman."
(Surah Al-Nur 24:2)
Hudud menurut istilah yang lain ialah balasan keseksaan yang telah ditentukan kadarnya oleh syara' untuk menjaga hak Allah S.w.t dan hak manusia dan kemaslahatan umum.
Walaupun pada dasarnya hukum hudud adalah tentang perkara yang berkaitan hak Allah S.w.t dan manusia, namun perlaksanaannya bertujuan untuk menjaga kepentingan masyarakat imum, ketenteraman dan supaya dapat memberi pengajaran kepada penjenayah dan faedah kepada masyarakat umum.
Dalam masalah hukum hudud tersebut, tiada sesiapapun yang dapat memberi syafa'at atau menguggurkan kesalahan jenayah hudud yang telah sabit kesalahan dengan bukti syara', dan setelah penjenayah dibawa ke mahkamah.
Jenis-Jenis Hudud
1. Berzina.
2. Qazaf.
3. Minum Arak
4. Mencuri.
5. Merompak dan menyamun.
6. Memberontak
7. Murtad.