Kesedihan ialah penyakit rohani atau penyakit mental yang boleh dihalau dengan keimanan uang kukuh dan sikap istiqamah, sebagaimana firman Allah S.w.t:
Maksudnya:"Sesungguhnya orang² yang menegaskan keyakinannya dengan berkata,"Tuhan kami ialah Allah." Kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita."
(Surah Al-Ahqaf 46:13)
Dalam kitab Madarij as Salikin, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah telah menukilkan pendapat² para ulama al-Amilin (ikhlas bekerja untuk Islam) sebagaimana berikut:
Sayidina Abu Bakar r.a berkata: "Janganlah engkau mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa pun".
Sayidina Umar Al-Khattab r.a berkata:"Istiqamah itu kamu berdiri terus mematuhi suruhan dan larangan Allah tanpa berubah² seperti musang".
Sayidina Uthman r.a berkata:"Ikhlas beramal kerana Allah semata²".
Sayidina Ali r.a dan Ibnu Abbas r.a berkata:"Berterusan dalam menunaikan kewajipan yang difardhukan".
Hasan al-Basri rhm berkata:"Berpegang teguhlah kepada perintah Allah, lakukan dengan ketaatan padaNya dan jauhilah maksiat dan kederhakaan kepadaNya".
Ibnu Taimiyah rhm berkata:"Mencintai Allah dan mengabdi kepadaNya tanpa berpaling ke kiri dan ke kanan".
Ibnu Taimiyah rhm berkata:"Sehebat² karamah adalah melazimkan sesuatu perkara dengan istiqamah."
Justeru, jika seseorang boleh berjalan di atas air atau boleh terbang di udara, ia bukanlah bukti bahawa Allah memuliakannya dengan karamah melainkan setelah dapat berpegang teguh dengan kebenaran yang berupa segala perintah mahupun larangan Allah kerana istiqamah adalah satu²nya syarat untuk mendapatkan karamah.