Berfirman Allah S.w.t:"Kerjakanlah solat untuk mengingati Aku!".
(Surah Tha Ha:14)
Berfirman Allah S.w.t:"Janganlah engkau termasuk orang² yang alpa".
(Surah Al-A'raaf:205)
Berfirman Allah S.w.t:" Janganlah kamu hampiri solat ketika kamu sedang mabuk, sampai kamu mengetahui apa yang kamu katakan".
(Surah An-Nisaa':43)
Ada yang mengatakan: mabuk dari banyak angan². Dan ada yang mengatakan: mabuk dari cinta kepada dunia.
Berkata Wahb:"Yang dimaksudkan dengan mabuk itu secara zahirnya saja iaitu memperingati kepada mabuk dunia, kerana diterangkan oleh Allah sebabnya, dengan firmanNya:"Sampai kamu mengetahui apa yang kamu katakan".
Berapa banyak orang yang bersolat yang tidak minum khamar (arak), padahal dia tiada mengetahui apa yang dibacanya dalam solat.
Bersabda Nabi S.a.w:"Barangsiapa mengerjakan solat dua rakaat, di mana ia tidak berbicara dengan dirinya dalam dua rakaat itu mengenai sesuatu urusan duniawi, nescaya diampunkan baginya apa yang telah lalu daripada dosanya".
(Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dari Shillah bin Usyaim-hadis mursal)
Bersabda Nabi S.a.w:"Sesungguhnya solat itu menetapkan hati, menundukkan diri, merendahkan hati, merapati batin, menyesali diri. Dan engkau meletakkan dua tangan engkau seraya membaca:"Ya Allah ya Tuhanku! Ya Allah, ya Tuhanku!". Barangsiapa tiada berbuat demikian, maka solat itu penuh kekurangan²".
(Hadis riwayat At-Tirmidzi dan lain² dari Al-Fadl bin Abbas, dengan isnad yang tidak diyakini)
Diriwayatkan bahawa Allah S.w.t berfirman dalam kitab² yang dahulu:"Tidaklah tiap² orang yang mengerjakan solat itu, Aku terima solatnya. Hanya Aku terima solat orang yang merendahkan diri kerana kebesaranKu, tiada menyombong dengan hamba²Ku dan memberi makanan kepada orang miskin yang lapar kerana Aku".
Bersabda Nabi S.a.w:"Sesungguhnya diwajibkan solat, disuruh mengerjakan haji dan tawaf dan disuruh syi'arkan segala ibadah haji itu, adalah kerana menegakkan zikir (mengingati) Allah S.w.t".
(Hadis riwayat At-Tirmidzi dari Aisyah, hadis hasan (baik) dan sahih)
Apabila tidak ada di dalam hatimu untuk yang tersebut tadi, yang mana itulah yang dimaksudkan dan yang dicari, kerana kebesaran dan tidak kehebatan, maka apakah harganya zikirmu itu?
Bersabda Nabi S.a.w kepada orang yang diberinya wasiat:" Apabila engkau mengerjakan solat, maka bersolatlah sebagai solat orang yang mengucapkan selamat tinggal". Maksudnya mengucapkan selamat tinggal kepada dirinya, kepada hawa nafsunya dan kepada umurnya, berjalan kepada Tuhannya, sebagaimana firman Allah S.w.t:" Hai manusia! Sesungguhnya engkau mesti bekerja keras dengan sesungguhnya (menuju) kepada Tuhan, kemudian itu kamu akan menemuiNya".
(Surah Al-Insyiqaq:6)
Berfirman Allah S.w.t:"Bertaqwalah kepada Allah! Allah mengajar kamu".
(Surah Al-Baqarah:282)
Berfirman Allah S.w.t:"Dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa kamu akan menemui Dia".
(Surah Al-Baqarah:223)
Bersabda Nabi S.a.w:"Barangsiapa tidak dicegah oleh solatnya daripada perbuatan keji dan munkar, maka dia tidak bertambah dekat kepada Allah melainkan bertambah jauh".
(Hadis riwayat Ali bin Ma'bad dari Al-Hasan,hadis mursal dengan isnad sahih)
Solat itu adalah munajah dengan Allah. Maka bagaimanakah ada munajah itu serta kelalaian?
Berkata Bakr bin Abdullah:"Hai anak Adam! Apabila kamu bermaksud masuk kepada Tuhanmu tanpa izin dan berbicara dengan Dia tanpa juru bahasa, maka masuklah!".
Lalu orang bertanya:"Bagaimanakah yang demikian itu?".
Maka menjawab Bakr bin Abdullah:"Engkau lengkapkan wudhumu dan engkau masuk ke mihrabmu. Apabila engkau telah masuk kepada Tuhanmu dengan tanpa izin itu, maka berbicaralah dengan Dia tanpa ada juru bahasa!".
Dari Aisyah r.a:"Adalah Rasulullah S.a.w bercakap² dengan kami dan kami pun bercakap² dengan beliau. Maka apabila datang waktu solat, lalu seolah² beliau tidak mengenal kami dan kami pun tidak mengenal beliau", kerana seluruh jiwa raga tertuju kepada Allah.
(Hadis riwayat Al-Azdi dari Suwaid bin Ghaflah, hadis mursal)
Bersabda Nabi S.a.w:"Allah tidak memandang kepada solat di mana orang itu di dalam solatnya tidak menghadirkan hatinya serta badannya".
Adalah Nabi Ibrahim a.s apabila berdiri kepada solat, lalu terdengar detak jantungnya pada jarak dua mil. Dan adalah Sa'id At-Tunukhi apabila mengerjakan solat, maka tiada putus²nya air mata dari dua pipinya ke atas janggutnya.
Rasulullah S.a.w melihat seorang lelaki bermain² dengan janggutnya dalam solat, maka beliau bersabda:"Jikalau khusyuk lah hati orang ini, nescaya khusyuklah anggota² badannya".
(Hadis riwayat At-Tirmidzi dari Abu Hurairah, dengan sanad dhaif)
Diriwayatkan bahawa Al-Hasan memandang kepada seorang lelaki yang bermain² dengan batu dan berdoa:"Ya Allah, ya Tuhanku! Kahwinkanlah aku dengan bidadari!".
Maka berkata Al-Hasan:"Buruk benarlah pelamar yang semacam ini! Engkau melamarkan bidadari, sedang engkau bermain² dengan batu".
Ditanyakan kepada Khalf bin Ayyub:"Tidakkah diganggu engkau oleh lalat dalam solat engkau sehingga perlu engkau usir lalat itu?".
Menjawab Khalf bin Ayyub:"Tidak aku biasakan bagi diriku sesuatu yang merosakkan solatku".
Maka ditanyakan lagi:"Bagaimanakah engkau bisa tahan yang demikian itu?".
Menjawab Khalf bin Ayyub:"Orang menceritakan kepadaku bahawa penjahat² tahan dari pukulan cemeti² sultan, supaya dikatakan:"Bahawa si Anu itu tahan menderita". Lalau mereka itu merasa bangga dengan demikian. Adapun aku berdiri di hadapan Tuhanku, maka patutkah aku bergerak kerana seekor lalat?".
Diriwayatkan dari Muslim bin Yassar, bahawa apabila ia bermaksud mengerjakan solat, maka ia berkata kepada keluarganya:"Bercakap²lah kamu sesama kamu, sedang aku tidak mendengar percakapanmu itu!".
Diriwayatkan dari Muslim bin Yassar tadi bahawa pada suatu hari ia mengerjakan solat di masjid jamik Basrah. Maka robohlah suatu sudut dari masjid itu. Lalu berkumpullah manusia ke sana. Sedang Muslim tadi tiada mengetahuinya sama sekali, sehingga selesailah ia daripada solatnya itu.
Adalah Ali bin Abi Talib r.a apabila datang waktu solat, maka gementarlah badannya dan berubahlah warna mukanya. Lalu ia ditanyakan orang:"Apakah yang menimpakan kepada engkau wahai Amirul Mukminin?".
Ali menjawab:"Telah datang waktu amanah yang didatangkan oleh Allah kepada langit, bumi dan bukit, maka semuanya ini enggan menerimanya dan merasa berat daripadanya. Dan aku menerimanya".
Diriwayatkan dari Ali bin Al-Husain, bahawa apabila ia mengambil wudhu maka pucatlah warna mukanya. Lalu bertanyalah keluarganya:"Apakah yang menimpakan kamu ketika berwudhu?".
Maka menjawab Ali bin Al-Husain:"Tahukah kamu dihadapan siapa aku mau berdiri?".
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a bahawa ia berkata:"Berdoalah Nabi Daud a.s dalam munajahnya:"Wahai Tuhanku! Siapakah yang mendiami rumah Engkau dan siapakah yang Engkau terima solatnya?"
Maka diturunkan Allah wahyu kepada Daud a.s:"Wahai Daud! Sesungguhnya yang mendiami rumahKu dan yang Aku terima solatnya ialah orang yang merendahkan diri kerana keagunganKu, menghabiskan siangnya dengan mengingati Aku, mencegah dirinya dari hawa nafsu kerana Aku, diberinya makanan kepada orang yang lapar, diberinya tempat kepada orang yang merantau dan dikasihaninya orang yang mendapat musbah. Itulah orang yang bercahaya nurnya pada segala langit laksana matahari. Kalau ia berdoa kepadaKu nescaya Aku terima dan kalau ia meminta kepadaKu nescaya Aku berikan. Aku jadikan baginya di dalam kebodohannya akan kasih sayang, di dalam kelalaiannya akan peringatan dan di dalam kegelapannya akan nur yang terang benderang. Di dalam kalangan manusia adalah laksana syurga firdaus pada lapisan syurga yang paling tinggi, tiada kering sungainya dan tiada berubah buah-buahannya".
Diriwayatkan dari Hatim Al-Ashamm r.a bahawa ditanyakan orang mengenai solatnya, maka ia menjawab:"Apabila datang waktu solat, maka aku lengkapkan wudhu dan aku datangi tempat di mana di situ aku bermaksud mengerjakan solat. Maka aku duduk pada tempat itu, sehingga berkumpullah segala anggota badanku. Kemudian aku berdiri kepada solatku, aku jadikan kaabah di antara dua keningku, titian siratul mustaqim di bawah tapakku, syurga di kananku, neraka di kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka solat ini pengabisan solatku, kemudian aku berdiri di antara harap dan cemas. Aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca bacaan dengan bacaan yang baik, aku rukuk dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyuk hati, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kiri, aku tegakkan tapak kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tiada mengetahui, apakah solatku itu diterima atau tidak".
Berkata Ibnu Abbas r.a:"Dua rakaat solat dengan sempurna tafakkur adalah lebih baik daripada mengerjakan solat semalam suntuk sedang hati itu lupa".